Beginikah akhirnya rahsia kita?


Setiap kali rahsia itu tiba
Dalam hujung angin menerpa
Tertinggal ungkapan manja
Kaburnya bisikan nyata
Bukan niat permainkan kata
Kau kubekalkan angan menggila
Indah adalah pilihan mereka
Wajah adalah nafsu dunia

Simpati takkan terbau wangi
Sumpah jahat tak  perlu bersaksi
Tak semua jalan kau pilih itu lurus
Bukan setiap niat hatiku tulus
Kita carik  pahala menjadi halus
Lalu dosa ternampak mulus

Dalam setiap hitungan doa
Terselit bilangan rungkai tanya
Beginikah akhirnya rahsia kita?

********** 
swakarya: Azuan Zameer

Selamanya Ku Pendam...


Andainya takdir ubah keadaan,
Ku tetap pilih keseorangan,


Sekali cintaku kau pendam,
Bererti selamanya kau kudendam...

 
**********
swakarya: Azuan Zameer





Hanya Di Mata Menatap




Wajah jalang
Semua mata  memandang
Dari sudut yang terlarang
Bersama sedikit aksi telanjang
Dan pedihnya iman terhalang

Aku tak pernah peduli semua
Aku tak mau mati muda
Perlu apa bersembunyi muka
Hidupkan aku selamanya
Meskipun harus berdusta

Lihatlah kita
Yang kabur dengan kurnia
Yang jelas hanya cemburu buta
Bila kau duduk diam di sana
Dan aku berdiri dengan sejuta puja

Rakamkan saja semua gaya
Dan pancaran kamera yang menggila
Yang kau lihat adalah tubuh sempurna
Sedang kalbu kosong tanpa jiwa

Bukanlah seribu gambar
Yang kau kejar
Adalah nafsu yang menyambar
Yang kau puji tanpa sedar
Adalah sempurna yang paling hambar

Sedangkan hatiku terluka benar



********** 
swakarya: Azuan Zameer

Ku Simpan Rasa Itu Kini



Izinku menghampiri

Walau kau ada teman beribu di sisi

Walau kau tak mahu aku di sini



Aku tak mahu lebih

Aku cuma mahu kau tahu betapa perih

Untukku melangkah bersama sepi tersisih



Akur kekurangan sendiri

Tersedar pagi hari

Kau telah pergi

Sekali lagi



Aku cuma lelaki

Yang terpaksa senyum tutup pedih peri

Sedang hati ku paksa berdiri

Jiwa sebenar longlai tak bersendi

Kau lihatlah aku dari mata naluri

Bukan dari hati yang pernah aku lukai



Sesuatu yang didatangkan

Hanyalah pinjaman

Aku tak mahu kau pulangkan

Segala yang pernah ku berikan

Hadiah keindahan

Tak perlu kau persoalkan

Harapan



Tolong jangan pernah lagi

Berasa terhutang budi

Yang kau dapat kini

Cumalah secebis dari janji

Yang terpaksa aku mungkiri

Sekian kali


**********
swakarya: Azuan Zameer

Biarlah!


Dalam kocakan hati
Menggunung semangat yang mati
Biarlah janji


Adalah terselit suatu rasa keinginan
Untuk melontar jauh senaknya fikiran
Biarlah beban


Menggapai jauh kumahu mentari
Dan semaraknya benak yang kian menggila kini
Biarlah begini


Berbekal satu nafsu
Letih menggontai haru
Biarlah aku


Dalam kecelaruan punah sakitnya sendi
Ada ruang bernafas lega berdiri
Ku serak semua duri
Biarlah sekali


Izinkan ku menjerit derita
Agar dunia tahu ku juga manusia biasa
Biarlah kecewa



**********
swakarya: Azuan Zameer

Yang Pasti



Apa yang kita jumpai

Di celah-celah jari

Adalah cuma kotoran berdaki yang orang benci

Yang orang beri

Di tengah-tengah hiruk gegar hari

Adalah sepi mereka sedari

Yang mereka telah cuba lalui

Di hujung pelangi ketemu diari kosong tanpa isi

Yang kita cari

Adalah hati yang tak mungkin kembali

Sepanjang hayat yang kita temui

Bila terjaga sendiri

Sekali lagi

Adalah mimpi!



**********
swakarya: Azuan Zameer

Ku Sudah Penat Menunggu



Ku pungut sayu
Yang tertinggal pada setiap baris nafas
Dalam langkah kau pergi
Tanpa menoleh lagi
Terdengar hanya hentakan keras
Sepatu

Sudah kuizinkan kau
Berlalu
Yang tertinggal pada setiap jawapan
Adalah sendu di hujung kata
Tanpa irama yang sukar diduga
Hilang bila diperlukan
Kaku
Tak dihirau

Penat tanpa istirahat
Luka sanubari
Mana dapat ku rawat
Bersendiri

Menunggu adalah bebananku
Berlari gembira adalah tugasmu
Itulah mampu
Yang tertinggal pada setiap harapan palsu
Adalah rindu
Mahal tak tergadai waktu


Sia-sia ku seru
 Bersama kalbu
Penat menunggu
Hingga hujung sendu

**********
swakarya: Rash Rozhams