sembunyi

saat ini
di manakah harus bersembunyi
tiada apa lagi perkataan yang dapat ku ukir di hati
tiada kata yang sempat ku ungkap dalam keadaan begini
namun aku tidak mahu melakukannya dengan terburu
kerana pasti tidak akan berganjak dari singgahsana itu
walaupun terbang dan bersembunyi di awan biru

saat ini
maaf kerana sembunyi emosi
sudah begitu tidak dapat aku kawal lagi
melihat kau meniti pelangi
aku jadi manusia yang paling bahagia saat ini
dengan bersembunyi
kau telah banyak mengajar aku makna 'sejati'
kerana kau tidak layak untuk di kasari
apalagi untuk berselindung di balik mimpi

saat ini
kau selayaknya di belai,
kau seharusnya mendapat balasan yang wajar meski berderai
dan aku mahu menjadi perantara itu
aku tidak mahu ada hijab di antara kau dan aku

pasrahlah saat ini
kerana aku bakal 'datang' untuk menjemput lagi

saat itu akan tiba
kau tak mampu terkata apa
meski kau bersembunyi di hujung mata

**********
swakarya: Azuan Zameer

singgah tanpa waktu


yakin masih setia untuk singgah di ruang yang haru
yakin masih ada rindu yang bertaut di bibir yang birat biru
semalaman memikirkan tentang deru
seharian aku duduk termenung tanpa seru
dan mengharapkan kau menghulurkan tangan padaku.
Tapi hingga saat ini ruang ini masih kontang beku
dengan harumanmu,
sunyi dan tidak semeriah dulu.
rindu kan alunan jemarimu
menari-nari di ruang kaku
aku rindukan dendanganmu yang asyik itu,
aku rindukan ilusimu yang buat aku tidur tanpa waktu
**********
swakarya: Rash Rozhams

setiap yang bakal mendatang


sukarnya hendak ku duga pendirian,
sukar juga untuk kuperlihatkan rontaan
kau masih sudi untuk membaca setiap kiriman
dengan senyuman penuh manja dan lirikan penuh kepuasan
sayang sekali, 'kegembiraan' itu tak dapat aku ramalkan
malah jauh sekali mentafsirkannya dengan akal fikiran
memang sudah kujangka aku bakal berhadapan dengan 'musibah'
kalau aku masih mahu berpencak sembah
dan akan kuteruskan hingga ke titisan darah rebah
tewas bukan pilihan yang paling dekat tika ini
gagal juga masih jauh di depan diri
apatah lagi untuk menyerah
sekadar untuk membuktikan
dayusnya seorang 'aku'
kau bermain dengan bukan 'mainan'
halanganmu juga tidak kebal
hingga kini walaupun aku masih terkurung dengan hukuman
masih gagah untuk berfikir dan seterusnya mencaturi permainan
masih ada ruang yang maha luas untuk ku terus keluar
dari kepompong yang sempit
teruskan perjuangan ku yang satu
Aku tahu kau juga bimbang, resah, desah dan ragu
bila 'kekuatanmu' semakin terserlah
bila hukumanmu itu langsung tidak menjejaskan aku
walaupun kau harus terus berfikir
dan terus berfikir untuk langsung membunuhku
Aku rela 'dibunuh' dengan cara yang paling terhormat,
sepertimana aku 'menjemputmu'
namun persoalan 'hidup mati' permainan ini belum tamat,
dan noktah yang kau 'kalungkan' di gelanggang ini sudah hilang di mamah
kalau hukuman itu satu alasan buatmu untuk menghina lemah
kerana aku sedar siapa yang harus pasrah
tapi kalau hukuman ini atas satu dosa
yang benar-benar telah aku palitkan di muka
maka aku terima seadanya dengan redha dan rela
cuma aku harap, jangan begitu kejam mendera
kerana ada rindu yang sedang menggamit mesra
setiap hari, setiap detik dan setiap yang bakal mendatang tiba
**********
swakarya: Rash Rozhams

ku tadah kemaafan


walaupun sepi
tapi tetap mengatur langkah ini
walaupun longlai
namun masih ada harapan yang menggunung
masih ada mimpi yang aku cari-cari
igau yang hilang itu pun dalam kelam
kulihat ada kelibatmu
tersenyum dan menari
tapi hanya seketika saja
kau lontarkan seribu pertanyaan padaku
kau simpulkan sejuta harapan palsu
yang payah untuk ku huraikan satu persatu
Aku tahu kau bakal meninggalkan aku di sini
aku tahu aku bakal menangisi kesunyian yang kau tinggalkan ini
aku tadah lagi
kau pergi bersama hatiku yang luluh sepi
aku mahu kau bertanya pada dirimu
masihkan ada benci yang baru
atau rindu yang kau simpan kejap itu
ku begini
hari-hari menanti
dan akan terus menanti
kerana kemaafan itu masih lagi ku tadahi
**********
swakarya: Rash Rozhams

diampunkan sekali lagi


dalam ketakutan ini aku gagahi jua roh yang kau tiupkan dulu...
berlegar dan berpagar dalam daerah yang maha tandus ini..
aku duduk termanggu sepi
sambil meniup bara yang kau padamkan itu...
aku tertanya lagi...
mahukah aku melamarmu lagi dalam redupmu yang tak terperi
mahukah aku duduk bersimpuh sambil mengumpul airmata
yang kau gugurkan dan menyulingnya dengan kemaafan...
mahukah kau bersedia mengamati rindu ini
dengan kemaafan mu yang mahal....
yang mencetus rinduku menjadi api....
dan api yang terpadam dari percikan pantai yang tak bertepi...
kaulah segalanya dalam diri,
kaulah yang hidup dan bernyawa dalam mimpi....
kau juga ilusi yang patah di sayap malam ini...
dan kau adalah kepuasan yang ngeri!!!
Aku bisa melafazkan lagi kejadian mu dalam satu medium yang kau mahu,
dalam bentuk yang kau sendiri tak pasti....
aku mahu lafazkan kemuncak ini di dahan yang paling tinggi....
biar kau tahu ada cinta yang berakar umbi,
biar kau tahu ada mimpi yang realiti....

hatta jiwa raga ini telah di punggah ke dasar misteri
yang angkuh
dan ampuh.....
untuk kesekian kali yang banyak ini...
aku melutut di lamanmu lagi
agar jemarimu bisa mengatur langkah
dan menghulur tanda simpati....
kerana ada seorang lelaki
yang masih berdiri
berdosa menuntut diri
agar diampunkan sekian kali.....
**********
swakarya: Rash Rozhams

makam hiba

perjalananku terhenti
di depan kaki muka
tertewaslah aku pada satu memori
yang kian robek meluka
lemah kudrat kakiku memijak tanah ini
kerana kesedaran ini membunuhku
kealpaan ini menikammu
terkubur benak di sisi rindu
di hujung tangkai nyawa
aku kaku berdoa
kedamaian rohmu di sana
aku kan kambuskan segala rasa
di suatu ruang yang kita takkan lupa
bersemadinya makam yang paling hiba
**********
swakarya: Rash Rozhams

aku mahu cium rembulan


aku cuma pohon
agar kau mengerti
segala yang ku dambakan
ku mahu cumbu rembulan
aku cuma pohon
untuk kau fahami
yang aku mahukan
ku nak cium rembulan
aku cuma pohon
perlu kau cernai
segalanya aku perlukan
kan ku peluk rembulan
aku cuma pohon
harus kau tafsiri
segala yang ku mahukan
ah! aku tetap mahu kucup rembulan
**********
swakarya: Rash Rozhams

aku bukannya


aku bukannya badut
yang mudah kau bohong melaut
aku bukan bangau yang terbang tinggi
tak sudi hinggap ke kerak bumi
aku bukannya coklat
yang akan cair di lidah
dan bukannya pada tangan keramat
aku bukannya pendendam
yang kejap genggam melaung geram
aku bukannya diari
untuk ku beri
kesempatan padamu mengenali rahsia diri
**********
swakarya: Rash Rozhams

dua kali aku laku

lekuk-lekuk ku luku
ketuk-ketuk ku dungu
mari-mari ku seru
pijak-pijak ku hidu
tunggu-tunggu ku beku
lari-lari ku kaku
biar-biar ku ragu
suruh-suruh ku turu
benar-benar ku tipu
sikit-sikit ku tepu
lama-lama ku tunggu
diam-diam ku bisu
suka-suka ku rindu
asyik-asyik ku jemu
hari-hari ku buru
itu-itu ku mahu
akhir-akhir ku tahu
dua kali ku laku
**********
swakarya: Rash Rozhams

inilah erti persahabatan sejati




dahulu kita 
selalu meneka
apa yang kita ada 
seusia dua puluh lima
berubahkah kita
atau mahu kekal sebegitu sahaja


kita tak mungkin bersama
kerana tiik hidup kita 
berbeza jumlahnya


ada ingin kau bicara
katakan sahaja 
kerana kita mungkin kesuntukan masa
pujukan juga hanya dalam puisi sahaja


kini aku ada kerjaya
kau punya kereta
jenaka masih sama
walau kau jadi wanita jelita
dan ku tiba-tiba 
menjadi jejaka


hingga dahulu dari kini
tak mampu ku lontar memori
kita langkahi dari sini
bukan waktu mengundur diri
tapi masanya untuk kita kenali


mungkin inilah erti
persahabatan yang kita cari...


**********
swakarya: Rash Rozhams

warnanya tetap sama


mengingatimu bukanlah permainan
yang tercipta sendiri
meski dalam kawalan
terperangkap dalam emosi
sedikit lari dari paksi kejantanan
diwar-warkan punyai seribu satu kekuatan
yang takkan gentar dengan kosongnya omongan
harga diri lebih ku angkat menadi tunjang
untuk menewaskanmu dalam sebarang gelanggang
tiada paksaan yang ku tahu garang
mengubah segalanya tentang seseorang
bukan sengaja menabur kata
memang bukan sebegitu rupa
'sebenar' yang kau cari bukan terletak di tangan kita
mungkin darah ini tidak semulia darahmu kawan
pekat dengan ibadat dan puisi memuji tuhan
namun warnanya tetap sama, bukan?
**********
swakarya: Rash Rozhams

sejak dari hari itu


sejak dari hari itu
aku bertanya pada diriku
adakah waktu
bilaku mengingatimu
kau juga begitu?
panggillah aku
si dungu
atau si buta kayu
kerana kebodohan ini kita saling memerlu
sejak dari hari itu
adakah ku lepaskan cinta
pada seorang yang lebih setia
ku tahu
ku benar-benar tahu
sejak dari hari itu
kita tidak pernah sedar apa yang kita perlu
sebelum kita terbaring kaku
kerana airmata yang mengalir lesu
membuatkan ku tahu
sejak aku kehilanganmu
sejak dari hari itu
**********
swakarya: Rash Rozhams

harkat usia


meski tanpa firman
tak perlu afdal berteman
aku teruskan bernafas dalam nuansa
yang aku sendiri cipta
agar ada ruang genre
untuk ku tebus hiba semalam
menjadikan aku pelamun setia
lantas ku anyam bilah ampun
buat menyapu dosaku yang terhimpun
aku bukakan kembali
segala khabar abadi
untuk ku sampaikan pada illahi
dapatkah ku doakan kau bahagia
andai aku sendiri menderita
dalam mazhab luka
meniti harkat usia
**********
swakarya: Rash Rozhams

yang ku panggil "itu"


suatu masa dahulu
ada seorang kau yang ku panggil "itu"
menyedarkan aku tentang ilmu
lalu aku tak lagi dungu
suatu masa dahulu
--- seorang kau yang ku panggil "itu"
membawa ku merungkai kelu
berbicara petah bahasa bisu
suatu masa dahulu
--- ------- kau yang ku panggil "itu"
mengajar bagaimana rasanya malu
agar aku tidak lagi buruk laku
suatu masa dahulu
--- ------- --- yang ku panggil "itu"
menunjukkan padaku
sayang tak semestinya perlu
disimpan jauh ke lubuk saku
suatu masa dahulu
--- ------- --- ---- ku panggil "itu"
hilang di depanku
tanpa sempat menunjuki ku
apa erti rindu
namun ku tahu jawapanmu
bahawa kasih tak semestinya bersatu
**********
swakarya: Rash Rozhams

talkin kalbu


berdiam lagi di sini
memandang pada pusaramu yang sepi
aku penanti
aku jugalah yang memerhati
tak ku hirau atau lupai
satu dekad berlalu kini
masihku rasai
hangat darahmu di pipi
mengalir pantas menyelimuti kaki
kenapa kau harus pergi
disaat kau mentah dan muda suci?
aku tak minta banyak alasan
kembali semula bukan jawapan
hanya ku mampu
melutut di sisimu
untuk ku lafazkan harapan beribu
di bawah langit makin kelabu
aminkan doaku
agar jalan pulang itu
tak lagi sesat keliru
biarku melangkah
meninggalkanmu tenang di alam barzakh
kan ku alunkan talkin karamah
dan kuntuman segar yang bertaburan di tanah
adalah tangkai kalbuku yang kian bernanah
**********
swakarya: Rash Rozhams

ke mari ke sisi


biarku bersandar di bahu,
biarku lena di atas ribaan itu
aku mahu menyusup ke dalam mimpimu
kehadiran ini melenyap rindu
dan rindu itu kian membunuhku
aku terlalu ingin
melihat senyuman
dari mata hati kejujuran
dan renungan kau pilih bisu
terpancar jauh dari mata sayu
jangan
jangan aku kau salahkan
jika ada sayang di balik papan
ku jadikan pintu berlabel 'persahabatan'
aku kan manusia tak berpisau ukiran
takkan mampu ku cungkil keluar perasaan
jangan kau tanya mengapa aku masih menanti
sedangkan kau pasti
suatu hari digelar 'nanti'
bidadari
akan membawamu turun ke mari
ke sisi...
***************
swakarya: Rash Rozham

rupa atau akal?


rupa atau akal?
satu sopan, satu nakal
rupa atau akal?
satu rapuh, satu kebal
rupa atau akal?
satu kejap, satu kekal
rupa atau akal?
satu celik, satu bebal
rupa atau akal?
satu lapar, satu bekal
rupa atau akal?
satu sial, satu tangkal
********************
akal atau rupa?
satu harta, satu papa
akal atau rupa?
satu diam, satu sapa
akal atau rupa?
satu bebas, satu tapa
akal atau rupa?
satu maju, satu hampa
akal atau rupa?
satu ingat, satu lupa
********************
jawapan itu sudahkah kau jumpa?
kau pilih AKAL? atau kau mahu RUPA?
*********
swakarya: Rash Rozham

yang ku curi rupanya hanya


yang ku curi rupanya hanya
sekelumit bicara senja
buat peneman di kala luka
yang ku curi rupanya hanya
selontar jelingan duka
buat penyejuk mata
yang ku curi rupanya hanya
sekilas senyuman pura
buat pengubat lara
yang ku curi rupanya hanya
secarik kulit membara
buat melapik derita
yang ku curi rupanya hanya
segala-galanya
yang tinggal pada dia
kini hanyalah hiba...
**********
swakarya: Rash Rozham

bila kau di sisi


bila kau di sisi
aku kan hidup tanpa mati
dajjal jadi suci
bila kau di sisi
aku alunkan lagu hati
tunggu jadi henti
bila kau di sisi
aku hayunkan rentak kaki
kaku jadi tari
bila kau di sisi
aku lunakkan marsani
sutera jadi besi
bila kau di sisi
harus kau sedari
aku bisa jadi
apa sahaja yang kau ingini...
***********
swakarya: Rash Rozhams

mengapa kau perempuan, ku lelaki?


mengapa kau perempuan ku lelaki?
kau dipuja ku tak dipeduli
kau ditatang ku dimaki
kau diberi duduk ku dibiar berdiri
mengapa kau perempuan ku lelaki?
kau dikeliling ku sepi
kau dihurung ku dihumban ke tepi
mengapa kau perempuan ku lelaki?
kau bersusuk ku berduri
kau cantik berhias ku masih tak mandi
kau makin wangi ku masih berdaki
berdosakah andai ku bertanya lagi:
kenapa kau perempuan ku lelaki?
************
swakarya: Rash Rozhams

aku tak mahu berkongsi


aku tak mahu berkongsi
ini bukan infiniti
ini doktrin ku sendiri
aku tak mahu berkongsi
bukan aku rigid sekali
cuma ku cukup pasti
ini semua hakku hakiki
aku tak mahu berkongsi
banyak benda lain lagi
pergilah kau cari
kenapa tagih ku punya ini
aku masih tak mengerti
mengapa ini juga yang kau ingini?
aku tak mahu berkongsi
benda ini tak boleh bawa ke mati
berikan aku kesemuanya sekali
satu tan, satu kilo, satu kati
pergi kau jauh dari sini
bukankah dah ku katakan tadi
aku tak mahu berkongsi!
************
swakarya: Rash Rozhams

jangan kau tanya


jangan kau tanya,
mengapa biar kau kecewa,
bukankah jika kita tidak temui hampa,
mana mungkin kita bersua.
memang kau tanya,
adakah ini semua untukmu ku sedia,
teruraikah perca luka,
berubahkah angan dek nyata.
masihkah kau ingin tanya,
apa telah terjadi pada semua duka,
kejamkah aku pada satu nyawa,
walau itu takdir tulisanNya
cuma usah tanya,
jalan ini mana hujungnya,
aku bisukan sekelumit bahasa,
biarku zahir seribu sengaja.
maka,
larangilah semua tanya,
usah soal jadikan senjata,
hingga kini
ku tak sedia,
andai ini
yang ingin kau tanya...
***********
swakarya: Rash Rozhams

biarlah aku

biarlah
aku bercerita,
kisah jujur tentang kita,
moga dapat kau teka,
ada sesuatu selain cinta,
biarlah
aku bercerita,
riwayat hidup kisah kita,
harap terus berkhabar berita,
jalani hidup lewat bicara,
biarlah
aku bercerita,
dendang hidup waktu dewasa,
takku izin kau bertanya,
andai kau tahu semua tentang kita.
biarlah
aku bercerita,
hubungan hati yang berbeza,
tak perlu
untuk kau membuang masa,
kerana inilah
cerita kita...
swakarya: Rash Rozham

seumpama kau ada

bawakan kepingan hatiku yang hilang,
meski satu
takkan mampu kau bilang,
terkilas murung
kalah gemilang,
hadirkan aku kelam,
aku takut pada terang.
biar,
ku berkelana lagi,
akan ku cari keyakinan,
yang aku sendiri tak pasti,
enggan aku berhenti,
kalau niatku tiada di sini.
aku tak mahu minda,
lamun yang mekar,
ku takkan sedar
ada beza,
gelodak usang keladak di dada,
seumpama kau ada.
temani aku,
sinari langkah longlai lesu,
jangan mampir hampir sebatu,
kerana
separuh nafasku,
terhela di wajahmu.
************
swakarya: Rash Rozhams

andai aku tidak bisa

andai aku tidak bisa lagi,
kau lontarkan sahaja tongkat ditanganku,
agar aku tahu,
apa
erti berdikari,
apa
makna kendiri,
apa
definisi sendiri,
kerana aku pasti suatu masa nanti,
aku akan jadi sebegitu.

andai aku tidak lagi bisa,
aku mahu
kau percaya,
aku bukan mahu mati,
aku mahu
kau biaran ku di sini,
mengulit sepi di kaki benci.

andai tidak bisa aku,
aku mahu
kau lupa,
segalanya pergi,
biar kau fahami,
bahawa aku takkan pernah,
perlu simpati.
***************
swakarya: Rash Rozhams

bawakan hatiku


sakitku ke tulang hitam,
tika langit turut bermuram,
tenanglah,
kata sang pencipta,
kerana ada maksud di sebalik ilhamnya.
jika benar lidah tak bertulang,
mengapa, sejarah tetap berulang?
andai cinta itu buta,
mana mungkin bulan,
jatuh tepat ke riba?
kau bukan ratu dunia,
usah senyum untuk menutup pura,
akan ku singkap,
tirai hidup yang terkoyak,
rabak,
carikkannya,
kusimpan di dalam nyawa
denyut hati,
agar tak kau ketahui,
apa yang kusembunyi,
selama ini.
***********
swakarya: Rash Rozhams

dan kini tidurku tersenyum

tunggu,
biarkan ku lelap seketika,
kerana aku letih,
menunggumu di dalam jaga.

bila dulu kau tiada,
lenaku bisa semalaman,
kini kau wujud di mata,
mengapakah tidurku tak lagi berzaman.

redakan rasa gundah,
ratakan bantal agar rendah,
ku tahu khayal bukan mudah,
bila kantuk tak ku endah.

biarkan aku tidur seribu aman,
bicarakan bahasa bertepi,
untuk ku bawa jauh senyuman,
meniti laju ke alam mimpi.
***********
swakarya: Rash Rozhams

akhirnya aku...

mati itu belum,
bila bibirmu itu tersenyum,
ketika kidungku mengalun di halkum,
dengan praduga terjatuhlah hukum,
dengan kasih ingin ku rangkum.
hidup itu abadi,
bawa daku ke masa yang pasti,
menorehi luka lewat kini,
mudah bagai kata turun ke hati,
mengaburi hidup dengan jalan mewangi,
menutup alasan dengan berjanji.
sudahnya,
ditelapakku terukir genggaman masa,
ada kisah di sebalik cerita,
ku teruskan berlagu suka,
meski ku pasti di akhirnya
aku yang lara...
**********
swakarya: Rash Rozhams

aku selalu...


aku selalu terfikir tentang kamu,
aku selalu memikir apa lagi yang kau perlu,
aku fikir kau mengerti apa yang telah kulalu,
bolehkan kalau hari ini aku ingin kau tahu,
bahawa aku tidak peduli lagi dengan apa yang kau mahu.

bila sang padi tidak mahu lagi tertunduk lesu,
ketika ilalang itu makin tidak mahu tegak lugu,
biar kali ini aku menjadi orang yang lebih tahu malu.

bisakah kau membaca fikiranku,
tidak perlu kad atau dadu,
cukup sekadar menerawang ke lubuk mindaku,
yang hukumnya biar Tuhan sahaja yang tentu.


dan kini kuharap benar kau restu,
kadangkala fikirkanlah pula tentang aku...


**********
swakarya: Azuan Zameer

fatwa hati, satu luahan jiwa




inilah luahan jiwa
dari hati yang bersiur rasa,
merendah ego demi sebuah makna,
membunuh kemanusiaan berbekalkan sepatah kata.

inilah fatwa lara,
meresap jauh ke pelusuk bahasa,
berbicara suara tanpa mata,
menyingkap tabir gundah dengan tangan gembira.

inilah fatwa hati dari manusia yang berkebinatangan,
yang takkan malu lebih dari seekor haiwan,
yang takkan berani kurang dari seorang insan.

inilah hati, inilah fatwa, inilah luahan, inilah jiwa....

***********
swakarya: Rash Rozhams