emosi selaut


Aku sendiri bingung dan dungu
seperti kau juga
bila memikirkan tentang kebetulan yang melanda kita
aku lagi berat bila memikirkan tentang kepayahan
tentang beribu lain persoalan

emosi yang bakal menuntut kekuatan daya
dan kerukunan darjat yang terpaksa aku lupa
meski buat sementara.
Walaupun aku tahu aku tidak selayaknya
untuk terbang bersama-sama enggang di atas sana.

Namun ku gagahi juga sayap ini semata-mata kerana mu
Aku sedar kau tinggi tapi kesedaran itu tidak mengatasi segalanya
aku sanggup untuk berdepan dengan ‘kebodohanku’
bila aku gagal dan jatuh kelak ….
selaut manapun kebencianmu pada keikhlasan,
walau obor cinta itu sudah kau padamkan

namun aku lelaki yang masih mahu begitu
aku masih mahu cuba mencari cinta mu yang hilang itu
Aku sendiri nanar dengan pendirianmu yang tidak menentu
tapi sekurang-kurangnya kalau terbetik rindu di hati
tahu di situ juga berbunga cinta pasti
cuma masa dan ketika sahaja untuk aku memetiknya
jangan angkuh menuduh aku sudah tewas
aku bukan tewas
tapi kemenangan yang sudah kubina
dari putik-putik rindu
aku pasti belum mahu menyerah kalah
dan jangan menghukum sesuatu
yang kau sendiri akui akan 'kekuatannya'

**********
swakarya: Rash Rozhams

kau takkan mampu


Mahu aku khabarkan padamu
tentang kengerianku
Kerana aku begitu takut melihat cara kau menerajui hidupmu
Aku takut kalau-kalau satu hari nanti Hidup itu
akan datang menyoalmu
dan ketika itu
Kau takkan mampu untuk beri jawapan
walau sepatah pun kebenaran
Aku takut kau tak mampu
untuk berdepan
dengan HIDUP mu sendiri nanti
Mungkin…
mungkin kau akan tertawa tentang sikapku
yang suka mengambil berat membuta tuli
mungkin juga kau tertanya tentang siapalah aku
yang layak untuk ‘mencaturi’
Atau kemungkinan lain yang seribu
yang rasa kau tak payah untuk aku campuri
urusan kau hidup atau mati
**********
swakarya: Rash Rozhams

cukuplah

Cukuplah....
aku rasa pertembungan ini
sudah tidak bernyawa lagi
Kau harus sedar dan mendongak ke langit kini
siapa pula di bawahmu menanti
Kalau mungkin benar telahan mimpi
kau pasti menuntut rindu kembali,
maka akulah manusia yang paling beruntung ini...
kerana kemungkinan itu telah dapat aku leraikan,
kerana mimpi-mimpi hitam mu juga
telah usai di 'gelanggang' ini..
kebatilan itu agaknya sudah memancar menerangi
daerah suram mu itu
maka kau kembalilah pada asalmu
yang lama telah tinggalkan, kembalilah pada 'dunia' yang semakin tenat ini
kerana kau tak pasti bila ianya akan berkubur,
bila roh mu bakal hilang meninggalkan jasadmu yang gebu
namun aku tahu
pasrah yang kekal itu milikku
dan aku mahu duduk dulu memerhatikan kesungguhanmu
menyulam dendam beribu,
mengukir arca untuk kau buat bekal hari
airmata mu sendiri ...

**********
swakarya: Rash Rozhams

manusia apa kau?


aku tahu kau tak suka kehadiran ini
aku tahu kau benci
bila melihat kelibat namaku
terhampar di lamanmu tadi
tapi tahukah kau
aku lebih membenci diriku sendiri
atas keterlanjuran yang tidak aku jangkakan sebegini
Aku sedar
aku telah mengundang kemarahanmu
yang tak terperi
namun takkan kau langsung terus mahu melupakan
takkan masih tiada rasa kemanusiaan
walau sedikitpun untuk kau hulurkan
agar dapat kita terus bersama
hukuman mu ini sungguh berbeza
dan amat berat kurasa
Aku rela dihukum dengan lain cara
namun kalau kau mahu aku melupakanmu,
tidak sekali...
namamu sudah sebati dalam diri
lalu bagaimana aku harus menutup mata
dan biarkan kau berlalu begitu saja…
manusia mana yang tidak buat kesilapan
dan aku antara manusia itu yang direncanakan
Namun kau terlalu muktamad membuat keputusan
hinggakan langsung tidak meninggalkan
walau sebesar kelingking pun ruang
untuk aku menuntut kemaafan.

Manusia apa kau
kalau kau tak bisa untuk memunafaatkan
hidupmu dengan rasa kemanusiaan?
Maaf, jangan kau salah tafsirkan
kerana aku sekadar memberimu satu persoalan
tentang satu keikhlasan
yang telah kau persiakan.
kalau kau tak mengerti makna rindu
aku harap kau bertanya pada yang tahu
kalau kau tak mengerti tentang itu
kau tanyalah dirimu dengan jujur
kerana jawapan itu sudah lama kau kubur
**********

swakarya: Rash Rozhams

pasaraya persahabatan


Selamat datang gerbang aluan
Ke sebuah ruang tanpa sempadan
Ke kompleks yang tidak bertuan
Tak perlu ruang kenderaan
Tak takut bayaran saman
Takkan ada penjual menahan
Usah kau harap murahnya tawaran

Inilah pasaraya persahabatan,
Tak perlu kad keahlian,
Tak mahu borang jaminan
Tak takut dengan bayaran pendahuluan
Takkan kau nampak papan kenyataan
Usah kau tunggu iklan ditayangkan

Inilah pasaraya persahabatan
Tak perlu rak hiasan
Tak mahu ruang pameran
Takkan ada slogan
Diskaun pun tak diperuntukkan
Tak ada stok untuk dihabiskan

Inilah pasaraya persahabatan
Tak perlu resit bayaran,
Takkan ada baucer sumbangan
Tak ada bayaran ansuran
Tak mahu jualan besar-besaran

Inilah pasaraya persahabatan
Tempat berhimpunnya sahabat dan rakan
Tempat tertera label kehidupan
Tempat dedahnya segala kebaikkan
Tak perlu tuah untuk cabutan
Takkan ada kad untuk digoreskan

Inilah pasaraya persahabatan
Ambil saja apa yang disenaraikan
Buangkan sahaja segala hiasan
Tak perlu menunggu hari perayaan
Kerana inilah tempat kau beli kesempurnaan.

**********
swakarya: Rash Rozhams

pada sujud terakhir


sebelum duduk bertahiyat
aku perlu menyembamkan wajah
yang kotor dengan palitan derhaka
dengan dahi yang bersalut noda
pada bibir yang mengucup dunia
aku tak mahu neraka
sebelum duduk bertahiyat
aku perlu meletakkan jariku
yang tepu dengan najis hina
dengan lutut yang berteleku bisa
pada telapak kaki yang takkan berpijak di syurga
sebelum duduk bertahiyat
iznkan aku mencuci segalanya
beralaskan dupa iman
berencahkan kemenyan amalan
untukku halau setanggi syaitan
aku ketepikan jauh ancaman
sebelum sujud terakhir aku sudahkan...
**********
swakarya: Rash Rozhams

carta lagu


bersahaja tegak di tepi pintu
bertemankan radio saku
mendengar satu persatu
manalah tahu
kalau ada lagu aku
halwa telinga
peneman setia
tak peduli apa labelnya
'mat syahdu','mat rock' atau 'mat bunga'
aku mahu dengar lagu semata
hilang segala bingung
pudar segala dengung
biar ku hayati kosa kata terkandung
angguk ikut irama senandung
mari dengar carta lagu
susun ikut kehendak dan mahu
buai perasaan ikut giliran corot ke satu
sedih, syahdu, duka dan pilu
aku pilih untuk carta laguku
asal ada bateri baru
**********
swakarya: Rash Rozhams

bahasa letih


sana sini orang asyik berangan
pilih bahasa ikut zaman
mana suara ikut alasan
bahasa asing aku tutur
bahasa sendiri hilang lebur
pandang sini rakyat jelata
bahasa aku cuma pada cogankata
megah tegak iklan bicara
hias indah di neon berwarna
siapa alpa siapa peduli
asal kau pegang tampuk ekonomi
tidak belajar tentu kau rugi
di syurga bahasa lain kau tuturi
bila masa untuk bahasa sendiri?
bahasa asing berwarna putih
bahasa sendiri kau pelekeh
meninjau kamus buatku letih
tutup mata meski jiwamu pedih!
**********
swakarya: Rash Rozhams

bukakan


bukakan luas dunia
untukku mengutip perca-perca
warna-warna rasa
yang bertaburan di sini dan di sana
jangan tutup kelambu jiwa
mudah kau mengait semula
di bawah lampu alam merdeka
bersimpuh dara senyum sentiasa
letakkan dian di hujung mata
sulamlah kasih bertilam bahasa
yang empuk gebu menadah badan sukma
hampiri jendela
agar aku dapat menjengah muka
**********
swakarya:
Azuan Zameer