wahai pemberi (maulud Nabi)


Wahai pemberi cahaya
Kau bekalkan aku jiwa
Pada pahalaku yang kering dasarnya
Pada insafku yang hilang sebahagiannya
Pada syurgaku yang samar pandangannya

Wahai pembawa nur kalbu
Kau bekalkan aku syafaat ilmu
Pada zikir yang kerap kelu
Pada wudhuk yang selalu kaku
Pada kiblat yang selalu keliru

Wahai penunjuk cahaya
Kau lorongkan aku bahagia
Pada taubat yang aku terkadang lupa
Pada sejadahku duduk hiba
Pada agungmu yang aku persenda

Namun pada hari ini
Aku bekalkan mu doa murni
Buat pengganti kek harijadi
Juangmu aku ingati
Sunnahmu aku patuhi
Munajatmu aku lazimi
Diingatanku kau abadi
Pada maksummu aku mengabdi
**********
swakarya: Rash Rozhams

di balik awan yang berdarah


Di balik awan yang berdarah
Aku lari bersembunyi
Bila malaikat datang mendekati
Dan kemilau cahaya merah
Yang aku tak kenali
Memancar terang segenap kirmizi
Menukar senjaku menjadi dinihari
Dan merangkaklah hati
Dari barat ke timur
Menongkah maut
Yang tak mampu terbang tinggi

Di balik awan yang berdarah
Aku masih mencari
Sisa nafas mengah
Terhela dari rongga nafsu
Membentuk titik-titik air
Dari mata syaitan beku yang kian cair

Dibalik awan yang berdarah
Ku genggam gemawan tak keruan
Ku simpul jadi benang-benang serban
Buat menutup muka dari tajamnya pandangan
Dan merah awan
Menjadi selendang kapan
Untuk lindungi maluku kepada tuhan
**********
swakarya: Rash Rozhams

aku, mangkuk, dan tandas awam


Di tepi mangkuk tandas
Aku tercungap culas
Pada kotoran yang terpalit
Dan lubang berlumut pahit
Lantai hancing melekit

Aku berpaut pada pintu
Yang tertanggal skru

Dinding yang penuh gambar erotis
Siling tertra tulisan kritis

Uwekkk…
Aku termuntah
Menghidu hawa mual mentah
Hingus yang melimpah
Kahak hijau yang ku luah

Lalu ku kesat pada tisu
Yang lencun akibat simbahan penyapu

** eiii….
Tak sanggup dengar lagi
Sajak ini buatku geli**

**mengapa kau kerut dahi?
Adakah kau benci
Pada kotoran yang keluar dari tubuhmu sendiri?**

Esoknya aku datang lagi,
Ke tandas awam ini
Dan aku pilih hujung tepi
Di bahagian kiri
Malu kalau ada mata nakal yang memerhati
Bila aku lunaskan qadak dari ari-ari

Duduk, pesan sufi
Jangan buang sambil berdiri
Syaitan menari-nari
Berdehemlah berkali-kali
Agar kering apa yang meleleh tadi

Ahhh…
Mana sempat mencangkung?
Kerana tandas berbau pekung
Mana cukup tangan nak pekup hidung?
Mana jari nak tutup ‘apa’ yang terlindung?

** jijiknya, kata pembaca,
sajak ini kotor maknanya
seni indah sudah kau gadai harganya
cubalah tulis benda yang berguna
adakah patut pasal tandas pun kau mahu cerita?**

aku tersenyum lagi
sajak ini berunsur ‘tahi’
aku berani
aku yakin sekali
kisah tandas ini serta bahan yang terisi
akan kau ingat sampai mati
kau gelarlah aku sasterawan ‘eee…’

** alah,
aku berani kerat jari
walau bagaimanapun kotor sekali
tandas ini pasti suatu hari
kau kunjungi
dan pasti kau ke mari
jika ‘hajat’mu sudah tak tertahan lagi…**


**********
swakarya: Rash Rozhams

menempah tenat


kemarukku hartamu
memabukmu mataku
membelitku faktamu
menyelitmu kataku
kumenggila pusakamu
mumenyala nerakaku
kumembukit prasangkamu
mumengapit rangkamu
menggalimu kutuah
kubertali luahmu
menarikmu kuruah
kumelimpah kuahmu
kita menyongsang dekat
kerongsang kita penat
terompah kita lekat
menempah kita tenat
**********
swakarya: Rash Rozhams

aku tak mau ulang





aku tak mau mengulang
aku bukan radio
yang perlu frekuensi
dan bateri gila yang hilang fungsi

jangan paksa aku mengulang
kerut sahaja dahi tua mu
tak perlu faham apa yang ada disebalik pintu
aku bukan kunci manggamu
yang hanya memerlukan rengkuh konkrit
atau pagar besi yang tajam
untuk kau kurung akal logik

tolong jangan ulang
aku sudah bilang
seribu ketandusan fikiran
menjadi satu dalam kecelaruan
melihatnya pun aku sudah tahu
yang ulangannya aku tak perlu
**********
swakarya: Rash Rozhams

setali tiga ruang



pada skrin hitam
tulisan putih pun nampak kelam
dan kotak-kotak berisi kosong
dijadikan alas bacaan resensi
oleh si penulis segan
makna seni pada yang buta hati

periksalah kolum-kolum bahasa
lihatlah makna yang tersangkut sastera

ada ruang-ruang yang diulang
ada paksi yang kian tumbang
ada soalan yang terhalang

kelompok tunggal disatu
majmuk ganda dicatu
himpunkan pada ruang-ruang setali itu
tiga harga
agar kau mudah bayar nilainya
**********
swakarya: Rash Rozhams

dari dalam terongko


dari dalam terongko

terongko yang itu
dirobos lagi oleh banduan muda
yang gian pada bebas udara
puas sudah makan berjingkit riba

“ketepi-ketepi, ada pelawat asing”
yang melihat, menjenguk umpama haiwan bela
“padan muka-padan muka”
buatlah salah agar kau sedar
disinilah tempatmu bersandar
tidurlah kau tanpa pakaian
yang tanggal maruah dari muka helaian
dan tersandar lagi dijejaring perit
pada taubat yang tak kau jerit

“mana syurga-mana syurga?”
bukankah itu yang kau teruja
kerana itulah kau di sini selamanya
dan terongko itu makin tertawa…
**********
swakarya: Rash Rozhams

bangku menjadi debu



Dari atas bangku yang patah
Aku melihat nenek melatah
Meluncur ucapan salah
Dan ia terhenti
Bila bangku itu patah lagi
Menjadi kepingan kayu
Yang tak mampu kau baiki
Dan terbiarlah serpihan itu
Dimakan bubuk
menjadi debu
**********
swakarya: Rash Rozhams