Sekiranya Akar Berbicara


Sekiranya akar berbicara
Banyak khabar duka kau akan dengar
Tentang hidup kayu menegak
Dan dedaun rimbun yang semakin segar
Tanpa perlu kau menyiramnya
Dengan sabar

Berteduhlah seribu saudagar sementara
Atau si papa kedana
Naungan itu tetap sama
Tanpa ada prejudis dan buruk sangka
Tanpa ada iri hati atau naik alis mata
Akar itu juga
Tetap menjalar jauh ke dalam bumi
Mencari-cari erti berdikari
Menerobos lubang tanah keras berdaki

Marilah kemari
Aku ceritakan tentang semua yang kau ingini
Ratusan tahun menyaksikan segalanya
Dari lubuk hijau yang buta warna
Akar bersirat yang tak terkira banyaknya
Lumpur hitam yang tak terselam jauhnya
Berdirilah kayu
Selama mana kau mampu
Bicaralah selalu
Pada rimba yang kau huni di hutan berdinding batu


Jangan kau cabut aku
aku masih mahu berbicara denganmu
Tentang nenek kedut seribu
tentang cucu yang derhaka selalu

**********
swakarya: Rash Rozhams

Itu Bukan Namanya



Itu bukan namanya
Bila kau bersama aku
Tapi mindamu bukan di situ

Itu bukan namanya
Bila kau pergi bersama teman
Sedangkan aku dikamarmu sendirian

Itu bukan namanya
Bila kita bertatapan mata
Lalu kau berpaling muka

Itu bukan namanya
Bila aku kau hubungi
Secara sembunyi-sembunyi

Itu bukan namanya
Bila aku cuba berbicara denganmu
Kau hanya diam membisu

Itu bukan namanya
Bila kau kata rindu
Tapi enggan untuk bertemu

Itu bukan namanya
Bila kau letakkan aku
Di senarai paling bawah carta hidupmu

Itu bukan namanya
Bila kau kata sentiasa
Tapi kau tak mengerti maknanya

Itu bukan namanya
Bila kau terlupa
Aku ini siapa





**********
swakarya: Rash Rozhams

KELAM ILHAM (SATU PUISI TERPAKSA)


Satu puisi mengejut
Yang kau pinta aku hasilkan
Adalah makna pengecut
Yang cuba aku sembunyikan
Di dada helaian rona putih
Yang kelihatan hanya hitam
Bila abjad tanpa maksud
Berpusing terus
Tanpa noktah kutemukan

Meskipun terus kucoret
Rantaian kata berbau paksa
Sedang di dadaku
Cumalah ada ‘tiada’

Bolehkah ku pasrah
Tanpa kuasa menolak arahan
Yang aku sendiri pertikaikan
Mana mungkin satu puisi indah terlahir
Dalam masa sesuntuk kelip mata

Yang aku nampak kini
Selonggok Ilham basi







**********
swakarya: Rash Rozhams

Bilik Latihan, DBP, 11 November 2008