Buaian Yang Putus


Gayat
Melihat ke bawah
Pada ayunan yang lemah
Tetali kapal
Kita jadikan ampaian kukuh
Menanggung beban
Menderu laju ke udara
Menghentam zarah tak bernama

Terus
Hingga santak pinggul
Mengundur ke belakang
Berkeriut dahan
Bergegar pucuk hijau
Sedangkan buah dah lama gugur
Menjadi habuan jiran

Berbuailah kayu reput
Menjadi alas duduk sekampung
Tempat bermain perasaan
Meluah angan syahdu
Melepas dendam rindu
Sang kekasih konon pemalu

Bertemu kita di buaian ini
Menggelongsor segala mimpi
Hayunlah setinggi langit kirmizi
Dan buai lena mencecah ke bumi
**********
swakarya: Rash Rozhams

Serkap Jarang


Serkap jarang
Tersangkut pada pohon kebenaran
Kian usang
Dan jatuh menimpa perdu
Dan akar menjalar menuju
Tanah gersang

Rimbunan tindakan
Luar jangkaan
Membumbun acu resah
Di ranting kering
Menjulang ke arah mentari
Membakar setiap urat daun
Yang mula gugur
Ke atas busut tinggal
Tempat tumpang segala
Roh jahat dan garang

Datang seorang pendeta
Mengutip anyaman serkap
Yang berguling jauh dari dahan sangkut
Dipikul pada bahu letih
Dijumjung pada jemala hangit
Menongkah langit cerah
Dipulangkan serkap
Pada tempat asalnya

Tersangkutlah kembali serkap jarang
Sedangkan pohon kebenaran mulai rebah
Tuduhan menjadi baja mujarab
Dari titisan alasan mencurah
**********
swakarya: Rash Rozhams

Batu Cemburu Buta


Seketul batu besar
Di tepi longkang
Yang cemburu
Pada batu-batu kecil
Di tepi rumput hijau

Mari sini kata batu besar
Aku lebih tua
Lebih tahu
Lebih berajar

Kau jangan biadap
Aku lebih mulia
Kerana itu aku berlumut
Jadi tempat duduk
Tempat bersandar
Para pembesar

Mana mungkin aku dapat ke arahmu
Kata batu kecil
Bukankah kita batu
Keras dan berat
Kau jerit saja
Aku dapat dengar dari sini

Batu tua terus membebel
Tak tentu hala
Tak berhujung pangkal
Jangan cuba menjawab
Bila tuduhan aku lemparkan
Maka berpanjanganlah nasihat percuma
Yang hanya didengar separuh peka

Biarlah kau si batu tua
Kata batu kecil
Aku tahu kau cemburu buta
Batu yang berusia
Aku tahu kau siapa
Cuma batu runtuhan kota lama
Sedangkan aku batu dari istana

Suka hati kau batu tua
Tempatmu memang patut
Di longkang hanyir sana!
**********
swakarya: Rash Rozhams

Pergilah Sahaja (Buat CKL)


dalam setiap tindakan
aku dipersalahkan
meskipun aku hanya membuka
sedikit cerita tentang kita
apa yang perlu kau rahsia?

aku bukan bogelkan kau dalam terang
bukan juga bongkar kau secara berhadapan

apa yang perlu kau takutkan?
gentarkah kau pada mereka yang kau panggil kawan?
mampukah kau angkuh di hadapan tuhan?

aku tak mahu ucapkan maaf
atas kesalahan yang bukan aku sengajakan
aku tahu kau bongkak
tak mahu diasak

jika itu yang kau pertahankan
maka berkecailah penantian
aku tahu kau takkan menyapa
kerana kau takut pada hakikat yang nyata

aku tahu kau siapa
dan manusia jenis apa
yang berikan salam
lalu pergi
jauh tanpa pamitan
tanpa bicara

bernilaikah maafmu
bodohkah aku
jika aku mengaku
yang aku terlupa
bahawa kau terlalu menjaga maruah
sedangkan kau tahu apa yang aku resah
bila kau menyalahkan semua
pada aku yang kau kata "Yang Mulia"

jangan tinggalkan apa-apa
pergilah kau sebelum ada air
mengalir dari mata
**********
swakarya: Rash Rozhams

Bila minda tertekan


Berteleku di hadapan monitor cahaya
Berfikir jauh apa yang kita suka
Mencari gobok minda
Menyelongkar seribu idea
Yang tak muncul tiba
Dari kekunci kaca
Besarnya pengaruh orang kaya

Tertekankah akalku
Sewaktu arahan mengherdik kemampuanku
Mengusaikan masalah daya
Dalam kekeringan capai apa sahaja di benak
Kawan, bukakan selak
Yang mengurung senak angin
Yang menunggu di usus luka

Lepaskan semua yang kau inginkan
Ikut segala peraturan
Ikat segala perundangan
Di depan monitor rata
Yang kita panggil paparan dunia
Menjelmalah kristal rata
Bergenanglah airmata
Di otak yang tandus
kata bantu
Yang kudus
nyata buntu

**********
swakarya: Rash Rozhams

Bila kata hati mula berdetik


‘Bila hati bertemu hati’
Terbukalah rahsia yang kau simpan kini
Terbacalah aku pada luahan paparan hiba
Terlerailah gumpalan ombak duga
Yang cuba kau gagahi
Percayalah aku tak hirau siapa kau kini
Percayalah bahawa aku tak takut mati

Takkan cemburu buta
Tak mahu syak wasangka
Hindarkan rasa curiga
Bunuh segala rasa pedih luka
Yang datang bersama ombak menggila
Di kaki ‘si pemuja cinta’

‘Bila kata hati mula berdetik’
Berkumpullah segala impian menggunung
Yang asalnya aku sahaja yang usung
Dengan canggung
Ke arahmu aku longgokan harapan
Kau kuis segala kepalsuan
Dengan kaki kemewahan
Dengan betis kesucian

Terima kasih kerana kau luahkan
Pendaman susunan perasaan
Yang kau atur mengikut skala kerinduan
Ukir cemburu ku di pasir pantai
Lukiskan rindu pada batu yang takkan usai
Dan bila ombak datang hampir
Hilanglah munafik kafir…
**********
swakarya: Rash Rozhams

Cermin Beralas Berahi


Benarkah kita berpijak pada satu keping hati,
Yang merah,
Kau alaskan
cermin berahi,
Terpanah terus ke dasar cahaya,
Atau tersasar jauh ke perigi,
Kering dan sunyi.

Aku tahu kau suka,
Bila aku juga lafazkannya,
Biar tanpa kerdip mata,
Tiada nafas terhela,
Namun dari separuh jiwa,
Yang berahi,
Akur sesungguhnya,
Hanya kau
di cermin jiwa,

Tersungkurkah langkah,
Bila kau tiada,
dengan hati parah,
yang kau ubati,
dengan perkataan tiga patah,
hati-hati
bila cermin beralas berahi,

perlukah aku ucapkan lagi?
kata itu,
di hadapanmu?

Sayangku,
selalu ku alaskan rasa ini,
Dengan sutera berenda,
Buat lapik lenamu,
Atau ketika kau leka,
Melihat “kita” dengan muluk,
Infiniti…
**********
swakarya: Rash Rozhams

Tulislah Segala Kebaikanmu


Tulislah segala kebaikanmu
Di atas kertas
Agar semua tahu
Kau bukan pengampu
Bukan juga seorang peminta balas
Yang mengemis di atas kanvas

Berceratuk segala mata pena yang tajam
Dakwatnya adalah amalmu
Bertaburan dan hitam pekat
Rancak celoreng
Dari hujung ke hujung
Tanpa mahu berhenti

Betapa banyaknya amalanmu
Kau coretkan di atas kertas
Untuk dibaca
Oleh sekalian manusia
Yang kerap mendabik dada
Betapa “Akulah raja
Yang paling hebat duga
Sedangkan kalian hanya
Hamba bawahan
Mengharap ihsan dari ketandusan!”

Tulislah lagi segala kebaikan mu tadi
Dari langit ke hati
Dari bumi ke jari
Rancaklah segala tari
Yang gendangnya kau palu sendiri
Setiap kali kebaikan mu kau catat ke atas kertas
Yang kau panggil diari

Tulislah kebaikanmu berulangkali
Mendabik dada tanpa henti
Biar angkuhmu tercium wangi
Pamerkan pada manusia alpa
Yang khusyuk sujud di kaki hina
**********
swakarya: Rash Rozhams

Asal Dari Bual Maya


Sematkan aku lencana resah
Di balik beg yang kau sandang
Terbit tika melihat engkau berdiri setia
Di kaki tangga
Menunggu tanpa mungkir kelibat si dia
Asal dari bual maya
Ruang mencari kawan yang semua orang teroka
Dari balik kaca yang tak bernyawa
Dari kata-kata tercipta di papan kekunci
Dan tetikus masa

Berjalan aku mengempar
Menggontai langkah bersahaja
Menuju ke sana
Ke arah bicara
Merungkai ruang syurga cipta
Di mata beningmu
Di bibir keringku

Aku tergoda jika kau terpana
Merenung setiap gerak jari
Melayanglah semangat yang aku tiup pujanya
Dari tangkai hati yang bermacam warna
Gugurlah
Gugurlah semahunya
Jika aku tak seperti yang kau harapkan
Tak seperti yang kau bayangkan

Tidak mengapa
Aku tahu aku siapa
Melangkah aku keluar dengan hati berbara
Sumpah, aku serik selamanya
**********
swakarya: Rash Rozhams

romantikus adiratna


Aduhai
Adiratna yang ku genggam
Memancar ego sekampung
Terikat pada tali lencas
Terbentang mengkuang prasangka bebas

Kerana azimat dulu
Kau jadikan hiasan
Pada balang kejap
Berghairah gelap

Salahkah aku menenun makar
Buat selubung mutiara segar
Dan segala batu berharga kau gelar

Aku bukan romantikus
Bukan rongak rasa puja
Untuk melindung bersuaka
Tak bertaring bibir malam
Taksa
Kuhasilkan puisi tarasul bermakna
Ku hantar terbang
Dengan tarbil tualang

Menarilah kau dengan punjut indah berhias
Yang kau isi permata bersambut
Megah berkias
Sarungkan antakesuma
Meskipun muak buta
Injakkan kaki di gudang cahaya
Sepanjang jalan berlembang melara
**********
swakarya: Rash Rozhams

Monolog Pada Bintang di Taman


Berkeliplah bintang belantik
Tiga beradik
Tika aku mengherdik
Nyamuk-nyamuk bergelandangan
Dipekat taman

Cahaya itu masih jujur
Tak berubah ke akhir
Tak nyanyuk orkid terhangguk
Di kepala nisan tercantuk
Rona kelabu dan hitam
Kelam, kusam
Nazam pun redam

Embun menipis
Di pelipis
Menghalang rajuk
Tak berpujuk
Kuraup ratib
Meratikan mati
Tertakik santun
Di hujung pantun

Kokokan ayam sesat
Menyedarkan lamun
Bahawa purnama telah tiada
Seroja semakin hilang harumnya
**********
swakarya: Rash Rozhams

di hujung manja


Hanya
dengan kain itu
Si ibu mengusap air wudhuk
Yang tak terserap dek anak derhaka
Tak kenal pada jelujur hujungnya

Bertelekulah ibu
di tepi kerambil yang tak terkukur
oleh tangan anak yang tak faham ditegur

kitalah anak itu
kunyuk dan sibuk mengimak durjana
di tepi dusun tak bernama

aku dan ibu itu sebagai kambrat
pujaan kontang belas tanpa niat
menebas semak sayang tanpa syarat

malaikat yang lalu mencela
gelaplah nur pada kedut rupa
terbanglah sesibur tanpa angin curiga
dari hujung kain yang kusam dengan air mata

sebelum bingkas tadi
di atas kain ibu terkejur lagi
belumpun sempat hubaya-hubaya
mengalunkan irama percaya
bahwa rahmat dan redha
tak terkekang di hujung manja

**********
swakarya: Rash Rozhams

Inikah Peringatan Dari yang Esa?


Inikah peringatan dari yang Esa?
Walau tempias cuma
Kau gegar alang
Kau goncang tiang
Pada serambi yang merekah
Dan ombak yang menerjah

Kalut,
Kalut,
Kalut.

Aku sebak
Melihat tanah yang tersopak
Yang rata menjadi lopak
Yang indah menjadi hapak

Ampun,
Ampun,
Ampun.

Baru kini aku rasa gerun
Amalan yang sedikit tak ku himpun
Jejak, tapak yang ku hayun
Meredah dosa yang berduyun

Cukup,
Cukup,
Cukup.

Amaran itu satu amarah
Kebaikan itu akan ku kerah
Peringatan dariMu ku jadikan azimat
Berbekalkan kudrat empat kerat

**********
swakarya: Rash Rozhams

Jawapan Pada Sepasang Mata


Jawapan
Yang konon menikam jauh
ke lubuk kalbu
Yang konon merentap
sisa nafas
Yang konon membawa separuh
dari hatiku yang lesu

Jawablah
persoalan ini
Yang muncul dari ubun-ubun
yang makin keras kematu
Yang muncul dari kedua belah
urat dahimu
Yang muncul dari denyutan dihalkum
leher jenjang itu

Berikan jawapan yang kumahu
Tentang persoalan yang terpancar
Yang tergenang dibirai lentik alis
Yang mengalir terus dipipi mulus
Tanpa calitan warna
Tanpa lapisan bedak
penghalang cahaya

Tak usah pandang kekaki
Jawapan itu ada pada sepasang mata ini
**********
swakarya: Rash Rozhams

Letih Menongkat Langit


Aku dah letih menongkah langit
Sedangkan lantai masih tak rata
Dengan gembur usaha, berkudakan tenaga
Paksi yang kau goyangkan putaran
Bergegar segala iman

Aku lupa daratan
Aku mabuk kesenangan
Aku injak wang yang aku kipaskan
Aku tidur berselimutkan hantaran

Siapa tidak kenal aku?
Bayi dalam buaian, dewasa dalam kelambu
Semua tahu siapa aku!

Aku lah pria idaman
Jejaka sejuta pujaan
Peduli apa dengan cacian
Kan ku basuh dengan gemilang sanjungan
Dari daratan ke langit menjulang
Akulah insan yang kau panggil “terbilang”

Sudahlah,
Aku letih hidup tanpa syahadah
Kejutkan aku sebelum aku mati tanpa akidah
**********
swakarya: Rash Rozhams

aku kumpulkan semua sasterawan


Aku kumpulkan
Semua penyajak handal
Untuk melukis rasa hati
Pada saat ini
Di mana pujangga agung?
Apa klise penyedap bahasa?

Aku kumpulkan semua penyair
Untuk aku luah semula
Segala riak yang aku telan
Buat kamu, untuk dia
Biar semua orang tahu
Aku pendendang tipu
Curas ilham dari makrifat lesu
Dari semua pemuisi itu

Aku kumpulkan semua pencipta
Pencatat purbawara sastera
Aku bawa kesemua idea nyata
Dari sasterawan yang ku gari tangannya
Ku bawa ke hadapan muka
Biar kau tahu
Aku telah kumpulkan semua nukilan mereka
Untuk aku ciplak!
Untuk aku plagiat!
Jadi karya aku kononnya.
**********
swakarya: Rash Rozhams

di hujung kuku

Di hujung kuku,
Tinggal sisa nyawaku,
Gelisah menanti
Saat roh direntap tersasar
Dan jari jemari merekut kasar
Membelah dan melayang pergi
Semangat yang hanya sejemput baki

Masihkah ada ehsanMu?
Sempatkah taubat nasuhaku?

Di hujung kuku
Yang lama berkematu
Aku terkial-kial menyapu
Dosa yang kian terlekat di sepatu

Adakah lagi ampun buat ku?
Terbukakah pintu syurgaMu?

Dan pesona dunia yang menuntut
sepicing akhirat yang terlintas
Dibenakku, di hujung kuku
Dikebuk seksa tanpa sabdu

kaki yang makin sanggit
antara himpunan kaku
tanpa rukun terbakar hangit
tanpa sahutan aminMu

di hujung kuku
berhimpunlah para perawi palsu
dengan sanad terhenti
tak mampu ku jadikan hubaya asli
masa silam yang iri
hajat yang penuh dengki

di hujung kuku
ku persoalkan rasa ragu
capikkah aku
bila dihadapanMu?

**********
swakarya: Rash Rozhams

dan di sana adalah Kostroma...


Selamat tiba nenek tua,
Mulut mungil menyapa mesra
lalu langkah kaki tua itu termati,
Di bumi seribu bunganya,
Di langitnya seribu jingga,

Merentas jauh si kelana bingung dari Siberia,
Melewati tanpa makna susur banjaran luka,
Kau carilah penawar kebah,
Yang mengalir santak ke akal,
dari lompong tasik Baikal yang rebah,
Dibalut cinta mewah yang tak bisa kekal.

Sarunglah baju pecah haba,
Saat emping salji berderai di dada,
Inilah kota seribu perintah,
Tak gempur dek seorang sang penjajah.

Dari gereja uzur Suzdal ke Vladimir,
Dari Yaroslavl ke kubu usang terpinggir,
Rabunkah nenek
pada uban di rambut kaca?
Lupakan warna Petersburg atau dingin Moscownya,
Dan tika wajahmu disinari suria Kostroma,
Kau simpan saja usiamu di muzium lama.

**********
swakarya: Rash Rozhams

bukankah mimpi itu percuma?


Dengan lidah berapi
Membakar segenap niat suci
Rentung kayu memacang menjadi debu
Yang terkial-kial dihembus dengkur lesu
Dari pasak-pasak yang kian menikam kalbu

Nilam-nilam kusam biru
Kau gantung megah di lehermu
Menjadi suluh paling ampuh dalam diri
Terpasung tanpa tali di tangan dan kaki
Terhayun ghairah walau gayat tinggi
Kerna syurga itu di atas menanti

Ulitlah jauh igau ngeri yang hodoh
Ketatkan usungan jiwa yang kian jatuh
Menimpa gebar terlipat lama
Beralaskan kait perca yang kita cantum bersama
Tak perlu takut bencana
Atur setiap akhiran bahagia
Bukankah mimpi itu percuma?
**********
swakarya: Rash Rozhams

Salam tua buatmu, Bung Pram


(Belasungkawa buat: Allahyarham Pramoedya Ananta Mastoer)

Salam tua buatmu Bung Pram,
Tika kau leka mengira usia lanjutmu
Di kaki bangunan penjajah
Yang habis kau bakar dan jarah
Dengan kudratmu yang takkan kikir
Pada mata hati yang kian terpinggir

Kau bikin kaget
Pada juangmu yang kau seret
Di hujung pena menari angkuh
Kau manusia kukuh
Dengan liuk lentuk api merdeka
Yang kami tak mungkin rasa

Kau pernah berkata
“Dulu, saya tak pernah menyangka,
akan menjadi tua”
dan hari ini kau rebah
sebagai pahlawan megah
yang takkan mengaku kalah
meski hanya namamu kini
kau tutup buku dengan kekuasaan
kau tinggalkan kami dengan seribu kemenangan

kau lahir dari tanah Blora
membesarkan kami
dari kritikan pedih untuk pemerintah
kurunglah sahaja segala hasrat di Buru
bersama nasionalis yang kian memberat
dan rokok yang lekat di tangan
adalah pencetus ilham dalam buangan

kau bebas kini Bung Pram,
benar-benar bebas…


Rash Rozham (30 April 2006)