emosi selaut


Aku sendiri bingung dan dungu
seperti kau juga
bila memikirkan tentang kebetulan yang melanda kita
aku lagi berat bila memikirkan tentang kepayahan
tentang beribu lain persoalan

emosi yang bakal menuntut kekuatan daya
dan kerukunan darjat yang terpaksa aku lupa
meski buat sementara.
Walaupun aku tahu aku tidak selayaknya
untuk terbang bersama-sama enggang di atas sana.

Namun ku gagahi juga sayap ini semata-mata kerana mu
Aku sedar kau tinggi tapi kesedaran itu tidak mengatasi segalanya
aku sanggup untuk berdepan dengan ‘kebodohanku’
bila aku gagal dan jatuh kelak ….
selaut manapun kebencianmu pada keikhlasan,
walau obor cinta itu sudah kau padamkan

namun aku lelaki yang masih mahu begitu
aku masih mahu cuba mencari cinta mu yang hilang itu
Aku sendiri nanar dengan pendirianmu yang tidak menentu
tapi sekurang-kurangnya kalau terbetik rindu di hati
tahu di situ juga berbunga cinta pasti
cuma masa dan ketika sahaja untuk aku memetiknya
jangan angkuh menuduh aku sudah tewas
aku bukan tewas
tapi kemenangan yang sudah kubina
dari putik-putik rindu
aku pasti belum mahu menyerah kalah
dan jangan menghukum sesuatu
yang kau sendiri akui akan 'kekuatannya'

**********
swakarya: Rash Rozhams

kau takkan mampu


Mahu aku khabarkan padamu
tentang kengerianku
Kerana aku begitu takut melihat cara kau menerajui hidupmu
Aku takut kalau-kalau satu hari nanti Hidup itu
akan datang menyoalmu
dan ketika itu
Kau takkan mampu untuk beri jawapan
walau sepatah pun kebenaran
Aku takut kau tak mampu
untuk berdepan
dengan HIDUP mu sendiri nanti
Mungkin…
mungkin kau akan tertawa tentang sikapku
yang suka mengambil berat membuta tuli
mungkin juga kau tertanya tentang siapalah aku
yang layak untuk ‘mencaturi’
Atau kemungkinan lain yang seribu
yang rasa kau tak payah untuk aku campuri
urusan kau hidup atau mati
**********
swakarya: Rash Rozhams

cukuplah

Cukuplah....
aku rasa pertembungan ini
sudah tidak bernyawa lagi
Kau harus sedar dan mendongak ke langit kini
siapa pula di bawahmu menanti
Kalau mungkin benar telahan mimpi
kau pasti menuntut rindu kembali,
maka akulah manusia yang paling beruntung ini...
kerana kemungkinan itu telah dapat aku leraikan,
kerana mimpi-mimpi hitam mu juga
telah usai di 'gelanggang' ini..
kebatilan itu agaknya sudah memancar menerangi
daerah suram mu itu
maka kau kembalilah pada asalmu
yang lama telah tinggalkan, kembalilah pada 'dunia' yang semakin tenat ini
kerana kau tak pasti bila ianya akan berkubur,
bila roh mu bakal hilang meninggalkan jasadmu yang gebu
namun aku tahu
pasrah yang kekal itu milikku
dan aku mahu duduk dulu memerhatikan kesungguhanmu
menyulam dendam beribu,
mengukir arca untuk kau buat bekal hari
airmata mu sendiri ...

**********
swakarya: Rash Rozhams

manusia apa kau?


aku tahu kau tak suka kehadiran ini
aku tahu kau benci
bila melihat kelibat namaku
terhampar di lamanmu tadi
tapi tahukah kau
aku lebih membenci diriku sendiri
atas keterlanjuran yang tidak aku jangkakan sebegini
Aku sedar
aku telah mengundang kemarahanmu
yang tak terperi
namun takkan kau langsung terus mahu melupakan
takkan masih tiada rasa kemanusiaan
walau sedikitpun untuk kau hulurkan
agar dapat kita terus bersama
hukuman mu ini sungguh berbeza
dan amat berat kurasa
Aku rela dihukum dengan lain cara
namun kalau kau mahu aku melupakanmu,
tidak sekali...
namamu sudah sebati dalam diri
lalu bagaimana aku harus menutup mata
dan biarkan kau berlalu begitu saja…
manusia mana yang tidak buat kesilapan
dan aku antara manusia itu yang direncanakan
Namun kau terlalu muktamad membuat keputusan
hinggakan langsung tidak meninggalkan
walau sebesar kelingking pun ruang
untuk aku menuntut kemaafan.

Manusia apa kau
kalau kau tak bisa untuk memunafaatkan
hidupmu dengan rasa kemanusiaan?
Maaf, jangan kau salah tafsirkan
kerana aku sekadar memberimu satu persoalan
tentang satu keikhlasan
yang telah kau persiakan.
kalau kau tak mengerti makna rindu
aku harap kau bertanya pada yang tahu
kalau kau tak mengerti tentang itu
kau tanyalah dirimu dengan jujur
kerana jawapan itu sudah lama kau kubur
**********

swakarya: Rash Rozhams

pasaraya persahabatan


Selamat datang gerbang aluan
Ke sebuah ruang tanpa sempadan
Ke kompleks yang tidak bertuan
Tak perlu ruang kenderaan
Tak takut bayaran saman
Takkan ada penjual menahan
Usah kau harap murahnya tawaran

Inilah pasaraya persahabatan,
Tak perlu kad keahlian,
Tak mahu borang jaminan
Tak takut dengan bayaran pendahuluan
Takkan kau nampak papan kenyataan
Usah kau tunggu iklan ditayangkan

Inilah pasaraya persahabatan
Tak perlu rak hiasan
Tak mahu ruang pameran
Takkan ada slogan
Diskaun pun tak diperuntukkan
Tak ada stok untuk dihabiskan

Inilah pasaraya persahabatan
Tak perlu resit bayaran,
Takkan ada baucer sumbangan
Tak ada bayaran ansuran
Tak mahu jualan besar-besaran

Inilah pasaraya persahabatan
Tempat berhimpunnya sahabat dan rakan
Tempat tertera label kehidupan
Tempat dedahnya segala kebaikkan
Tak perlu tuah untuk cabutan
Takkan ada kad untuk digoreskan

Inilah pasaraya persahabatan
Ambil saja apa yang disenaraikan
Buangkan sahaja segala hiasan
Tak perlu menunggu hari perayaan
Kerana inilah tempat kau beli kesempurnaan.

**********
swakarya: Rash Rozhams

pada sujud terakhir


sebelum duduk bertahiyat
aku perlu menyembamkan wajah
yang kotor dengan palitan derhaka
dengan dahi yang bersalut noda
pada bibir yang mengucup dunia
aku tak mahu neraka
sebelum duduk bertahiyat
aku perlu meletakkan jariku
yang tepu dengan najis hina
dengan lutut yang berteleku bisa
pada telapak kaki yang takkan berpijak di syurga
sebelum duduk bertahiyat
iznkan aku mencuci segalanya
beralaskan dupa iman
berencahkan kemenyan amalan
untukku halau setanggi syaitan
aku ketepikan jauh ancaman
sebelum sujud terakhir aku sudahkan...
**********
swakarya: Rash Rozhams

carta lagu


bersahaja tegak di tepi pintu
bertemankan radio saku
mendengar satu persatu
manalah tahu
kalau ada lagu aku
halwa telinga
peneman setia
tak peduli apa labelnya
'mat syahdu','mat rock' atau 'mat bunga'
aku mahu dengar lagu semata
hilang segala bingung
pudar segala dengung
biar ku hayati kosa kata terkandung
angguk ikut irama senandung
mari dengar carta lagu
susun ikut kehendak dan mahu
buai perasaan ikut giliran corot ke satu
sedih, syahdu, duka dan pilu
aku pilih untuk carta laguku
asal ada bateri baru
**********
swakarya: Rash Rozhams

bahasa letih


sana sini orang asyik berangan
pilih bahasa ikut zaman
mana suara ikut alasan
bahasa asing aku tutur
bahasa sendiri hilang lebur
pandang sini rakyat jelata
bahasa aku cuma pada cogankata
megah tegak iklan bicara
hias indah di neon berwarna
siapa alpa siapa peduli
asal kau pegang tampuk ekonomi
tidak belajar tentu kau rugi
di syurga bahasa lain kau tuturi
bila masa untuk bahasa sendiri?
bahasa asing berwarna putih
bahasa sendiri kau pelekeh
meninjau kamus buatku letih
tutup mata meski jiwamu pedih!
**********
swakarya: Rash Rozhams

bukakan


bukakan luas dunia
untukku mengutip perca-perca
warna-warna rasa
yang bertaburan di sini dan di sana
jangan tutup kelambu jiwa
mudah kau mengait semula
di bawah lampu alam merdeka
bersimpuh dara senyum sentiasa
letakkan dian di hujung mata
sulamlah kasih bertilam bahasa
yang empuk gebu menadah badan sukma
hampiri jendela
agar aku dapat menjengah muka
**********
swakarya:
Azuan Zameer

sembunyi

saat ini
di manakah harus bersembunyi
tiada apa lagi perkataan yang dapat ku ukir di hati
tiada kata yang sempat ku ungkap dalam keadaan begini
namun aku tidak mahu melakukannya dengan terburu
kerana pasti tidak akan berganjak dari singgahsana itu
walaupun terbang dan bersembunyi di awan biru

saat ini
maaf kerana sembunyi emosi
sudah begitu tidak dapat aku kawal lagi
melihat kau meniti pelangi
aku jadi manusia yang paling bahagia saat ini
dengan bersembunyi
kau telah banyak mengajar aku makna 'sejati'
kerana kau tidak layak untuk di kasari
apalagi untuk berselindung di balik mimpi

saat ini
kau selayaknya di belai,
kau seharusnya mendapat balasan yang wajar meski berderai
dan aku mahu menjadi perantara itu
aku tidak mahu ada hijab di antara kau dan aku

pasrahlah saat ini
kerana aku bakal 'datang' untuk menjemput lagi

saat itu akan tiba
kau tak mampu terkata apa
meski kau bersembunyi di hujung mata

**********
swakarya: Azuan Zameer

singgah tanpa waktu


yakin masih setia untuk singgah di ruang yang haru
yakin masih ada rindu yang bertaut di bibir yang birat biru
semalaman memikirkan tentang deru
seharian aku duduk termenung tanpa seru
dan mengharapkan kau menghulurkan tangan padaku.
Tapi hingga saat ini ruang ini masih kontang beku
dengan harumanmu,
sunyi dan tidak semeriah dulu.
rindu kan alunan jemarimu
menari-nari di ruang kaku
aku rindukan dendanganmu yang asyik itu,
aku rindukan ilusimu yang buat aku tidur tanpa waktu
**********
swakarya: Rash Rozhams

setiap yang bakal mendatang


sukarnya hendak ku duga pendirian,
sukar juga untuk kuperlihatkan rontaan
kau masih sudi untuk membaca setiap kiriman
dengan senyuman penuh manja dan lirikan penuh kepuasan
sayang sekali, 'kegembiraan' itu tak dapat aku ramalkan
malah jauh sekali mentafsirkannya dengan akal fikiran
memang sudah kujangka aku bakal berhadapan dengan 'musibah'
kalau aku masih mahu berpencak sembah
dan akan kuteruskan hingga ke titisan darah rebah
tewas bukan pilihan yang paling dekat tika ini
gagal juga masih jauh di depan diri
apatah lagi untuk menyerah
sekadar untuk membuktikan
dayusnya seorang 'aku'
kau bermain dengan bukan 'mainan'
halanganmu juga tidak kebal
hingga kini walaupun aku masih terkurung dengan hukuman
masih gagah untuk berfikir dan seterusnya mencaturi permainan
masih ada ruang yang maha luas untuk ku terus keluar
dari kepompong yang sempit
teruskan perjuangan ku yang satu
Aku tahu kau juga bimbang, resah, desah dan ragu
bila 'kekuatanmu' semakin terserlah
bila hukumanmu itu langsung tidak menjejaskan aku
walaupun kau harus terus berfikir
dan terus berfikir untuk langsung membunuhku
Aku rela 'dibunuh' dengan cara yang paling terhormat,
sepertimana aku 'menjemputmu'
namun persoalan 'hidup mati' permainan ini belum tamat,
dan noktah yang kau 'kalungkan' di gelanggang ini sudah hilang di mamah
kalau hukuman itu satu alasan buatmu untuk menghina lemah
kerana aku sedar siapa yang harus pasrah
tapi kalau hukuman ini atas satu dosa
yang benar-benar telah aku palitkan di muka
maka aku terima seadanya dengan redha dan rela
cuma aku harap, jangan begitu kejam mendera
kerana ada rindu yang sedang menggamit mesra
setiap hari, setiap detik dan setiap yang bakal mendatang tiba
**********
swakarya: Rash Rozhams

ku tadah kemaafan


walaupun sepi
tapi tetap mengatur langkah ini
walaupun longlai
namun masih ada harapan yang menggunung
masih ada mimpi yang aku cari-cari
igau yang hilang itu pun dalam kelam
kulihat ada kelibatmu
tersenyum dan menari
tapi hanya seketika saja
kau lontarkan seribu pertanyaan padaku
kau simpulkan sejuta harapan palsu
yang payah untuk ku huraikan satu persatu
Aku tahu kau bakal meninggalkan aku di sini
aku tahu aku bakal menangisi kesunyian yang kau tinggalkan ini
aku tadah lagi
kau pergi bersama hatiku yang luluh sepi
aku mahu kau bertanya pada dirimu
masihkan ada benci yang baru
atau rindu yang kau simpan kejap itu
ku begini
hari-hari menanti
dan akan terus menanti
kerana kemaafan itu masih lagi ku tadahi
**********
swakarya: Rash Rozhams

diampunkan sekali lagi


dalam ketakutan ini aku gagahi jua roh yang kau tiupkan dulu...
berlegar dan berpagar dalam daerah yang maha tandus ini..
aku duduk termanggu sepi
sambil meniup bara yang kau padamkan itu...
aku tertanya lagi...
mahukah aku melamarmu lagi dalam redupmu yang tak terperi
mahukah aku duduk bersimpuh sambil mengumpul airmata
yang kau gugurkan dan menyulingnya dengan kemaafan...
mahukah kau bersedia mengamati rindu ini
dengan kemaafan mu yang mahal....
yang mencetus rinduku menjadi api....
dan api yang terpadam dari percikan pantai yang tak bertepi...
kaulah segalanya dalam diri,
kaulah yang hidup dan bernyawa dalam mimpi....
kau juga ilusi yang patah di sayap malam ini...
dan kau adalah kepuasan yang ngeri!!!
Aku bisa melafazkan lagi kejadian mu dalam satu medium yang kau mahu,
dalam bentuk yang kau sendiri tak pasti....
aku mahu lafazkan kemuncak ini di dahan yang paling tinggi....
biar kau tahu ada cinta yang berakar umbi,
biar kau tahu ada mimpi yang realiti....

hatta jiwa raga ini telah di punggah ke dasar misteri
yang angkuh
dan ampuh.....
untuk kesekian kali yang banyak ini...
aku melutut di lamanmu lagi
agar jemarimu bisa mengatur langkah
dan menghulur tanda simpati....
kerana ada seorang lelaki
yang masih berdiri
berdosa menuntut diri
agar diampunkan sekian kali.....
**********
swakarya: Rash Rozhams

makam hiba

perjalananku terhenti
di depan kaki muka
tertewaslah aku pada satu memori
yang kian robek meluka
lemah kudrat kakiku memijak tanah ini
kerana kesedaran ini membunuhku
kealpaan ini menikammu
terkubur benak di sisi rindu
di hujung tangkai nyawa
aku kaku berdoa
kedamaian rohmu di sana
aku kan kambuskan segala rasa
di suatu ruang yang kita takkan lupa
bersemadinya makam yang paling hiba
**********
swakarya: Rash Rozhams

aku mahu cium rembulan


aku cuma pohon
agar kau mengerti
segala yang ku dambakan
ku mahu cumbu rembulan
aku cuma pohon
untuk kau fahami
yang aku mahukan
ku nak cium rembulan
aku cuma pohon
perlu kau cernai
segalanya aku perlukan
kan ku peluk rembulan
aku cuma pohon
harus kau tafsiri
segala yang ku mahukan
ah! aku tetap mahu kucup rembulan
**********
swakarya: Rash Rozhams

aku bukannya


aku bukannya badut
yang mudah kau bohong melaut
aku bukan bangau yang terbang tinggi
tak sudi hinggap ke kerak bumi
aku bukannya coklat
yang akan cair di lidah
dan bukannya pada tangan keramat
aku bukannya pendendam
yang kejap genggam melaung geram
aku bukannya diari
untuk ku beri
kesempatan padamu mengenali rahsia diri
**********
swakarya: Rash Rozhams

dua kali aku laku

lekuk-lekuk ku luku
ketuk-ketuk ku dungu
mari-mari ku seru
pijak-pijak ku hidu
tunggu-tunggu ku beku
lari-lari ku kaku
biar-biar ku ragu
suruh-suruh ku turu
benar-benar ku tipu
sikit-sikit ku tepu
lama-lama ku tunggu
diam-diam ku bisu
suka-suka ku rindu
asyik-asyik ku jemu
hari-hari ku buru
itu-itu ku mahu
akhir-akhir ku tahu
dua kali ku laku
**********
swakarya: Rash Rozhams

inilah erti persahabatan sejati




dahulu kita 
selalu meneka
apa yang kita ada 
seusia dua puluh lima
berubahkah kita
atau mahu kekal sebegitu sahaja


kita tak mungkin bersama
kerana tiik hidup kita 
berbeza jumlahnya


ada ingin kau bicara
katakan sahaja 
kerana kita mungkin kesuntukan masa
pujukan juga hanya dalam puisi sahaja


kini aku ada kerjaya
kau punya kereta
jenaka masih sama
walau kau jadi wanita jelita
dan ku tiba-tiba 
menjadi jejaka


hingga dahulu dari kini
tak mampu ku lontar memori
kita langkahi dari sini
bukan waktu mengundur diri
tapi masanya untuk kita kenali


mungkin inilah erti
persahabatan yang kita cari...


**********
swakarya: Rash Rozhams

warnanya tetap sama


mengingatimu bukanlah permainan
yang tercipta sendiri
meski dalam kawalan
terperangkap dalam emosi
sedikit lari dari paksi kejantanan
diwar-warkan punyai seribu satu kekuatan
yang takkan gentar dengan kosongnya omongan
harga diri lebih ku angkat menadi tunjang
untuk menewaskanmu dalam sebarang gelanggang
tiada paksaan yang ku tahu garang
mengubah segalanya tentang seseorang
bukan sengaja menabur kata
memang bukan sebegitu rupa
'sebenar' yang kau cari bukan terletak di tangan kita
mungkin darah ini tidak semulia darahmu kawan
pekat dengan ibadat dan puisi memuji tuhan
namun warnanya tetap sama, bukan?
**********
swakarya: Rash Rozhams