CADAR BARU



Hari ini emak tukarkan
Cadar baru di katil rindu
Menyambut sijantung pulang
Membawa teman jiwa tanpa restu

Lapik gebar berbunga
Emak kait seribu rasa
Menunggu si buah hati pulang
Menggalas wang
Yang tak pernah dikirim
Sebagai harga jasa

Selimut berwarna ceria
Emak letak di hujung pangkin pusaka
Buat menutup kaki anak
Yang jarang bertandang
Membawa bahagia

Dan cadar masih tak berusik
Gebar tak rela ditarik
Selimut tak langsung berlapik
Anak tak kunjung balik

Emak, simpanlah semua itu
Anak tak kan menjengah
Yang datang
pasti cuma debu haba
Memenuhi cadar baru
semalaman emak usaha


**********
swakarya: Rash Rozhams

Telekung Batik Dan Ihram Sutera



Panas
Berlari mengejar pahala
Bersesak satu hati
Melihat tompokan nyawa
Bersalut ihram sutera
Di balik kain hitam Kaabatullah
Besar

Putih telekung jutaan umat
Manakan sama telekung batikmu
Yang menyerlah dek keagungan
Mewah import
Bergemerincing besi kaki
Ulang Safa ke Marwah
Berlari terus ke Jeddah
Menjijit bersama riak
Tak tinggal di rumah

Ihram sutera itu kita baluti
Mengganti perca handalan
Tak serap peluh
Tak kenal hujan
Dinginnya telekung batik
Di celah ruapan pasir tandus
Mewangi tengit hapak
Mengganti kulit berbedak

Wangi kapas jenama
Mulut terkumat kamit kagum pada hebatnya
Membaca megah, terlupa doa yang ditadah

kami datang ya Allah, menyambut seruanmu ya Allah, bertelekung batik kami ya Allah, berihram sutera ya Allah

Lajukah doa kami menuju Sidratul Muntaha?
Hebatkah kami di sisimu ya Allah?


**********
swakarya: Rash Rozhams

MUNAJAT SUBUH DI TIANG BALDU


Semarak warna kalbu
Wahyu menggunung
Terus ke hampar beradu
Tika kita bermunajat

'Sepi tak bisa dikongsi'

Tasbih tak lekang
Kelingking malam

Berdoa
Agar umat tak meracuni
Mata syaitan terkutuk gelita
Sapukan sayu
Pada wajah senusantara

Munajat segala sendi
Tafakur khalwat
Maksum pada hati
Cuci payah iri
Dan malaikat pencatat kiri
Menggeleng tak berhenti

Di tiang baldu
Manusia menatap
Rongga palsu
Jejeran airmata menghambur sendu
Malam munajat

kita syahdukan lagi
Tertadah ampun tanpa sabdu benci
Hening malam hilang
Tika dia tersandar kaku
Di tiang baldu


**********
swakarya: Rash Rozhams

Katup Pintu Depan


Katup pintu depan
Aku tak mahu memandang luar
Kerana cahaya cemburu
Menunggu untuk menerobos

Kunci segala selak
Usir semua gerak asing
Yang mengetuk urat kayu
Menipu sebagai tetamu

Lorek salam tanpa senyum
Kemarilah kau
Tunggu aku
Meniti alang pintu
Menjemput masa sebelum berlalau
Janagn sekali bawa dendam lama bersama
Maruahku dah berbirat
Memenuhi langsir berkarat
Kurentap menjadi kain basahan
Gelap menghisap noda semalam
Yang terpalit pada pintu kaca kopak
Dan selak antik
Menjadi penahan angin
Datang pada setiap kali
Berdiri di alas kaki

Tolong tutup pintu itu
Kerana aku gentar pada dia
Yang muncul entah dari lubang mana
Biar aku lari
Tolong kunci
**********
swakarya: Rash Rozhams

APA BUNYI ITU?


Kringgggg
Bringgggg
Ryinggggg
Tingggggg
Winggggg
Chinggggg

Keriau kumpul seriau
Bising satu semesta
Pekik sejuta kata
Persetan semua bicara

Nyinggggg
Sringggggg
Twinggggg
Linggggggg
Pringggggg

Jangan henti desiran
Biar deringan kocak
Ketuk segenap kudrat
Kuat desiran ombak
Agar aku tahu
Aku masih tak pekak!!!!
**********
swakarya: Rash Rozhams

REINKARNASI


Bertuahlah kamu
Dalam kelahiran ini
Memijak bumi merdeka
Menghirup bayu sejahtera
Kerana aku perlu
Lahir semula
Dalam satu bentuk
Yang tak terjangkau
Dalam nafasmu

Hari ini
Ketika itu
Aku hanya mahu
Berinkarnasi
Agar aku beroleh semua
Sepertimu tadi
Dalam diam dudukmu
Dalam getar kaku
Dalam heboh gendang
Bersama angin lintang

Lahirkan aku kembali
Menujah generasi buta
Gerbang alaf senja
Aku mahu kaya
Aku pingin raya
Matikan aku sekarang
Aku bosan menjadi beban.

**********
swakarya: Rash Rozhams

100 MITOS


100 mitos aku lempar
dalam selembar daun kecil
ku kutip dari laman asing
ku jemur elok kering
ku simpan kejap
dalam laci rahsia
paling bawah berwarna jingga

dakwatnya aku pekatkan
bercampur debu amarah
gugur dari candu basah
merosak setiap helaian daun lontar
ukiran mitos yang aku reka semalaman

ambillah sehelai, kawan
untuk kau baca terang-terang
jangan kumal dahulu
sebut berulang
lagenda gila menghibur royan
simpan dalam tempayan
zaman
**********
swakarya: Rash Rozhams

Luka Bangsa


Kita lukai maruah sendiri
Bukan dengan belati
Tapi dengan janji
Berlari meniti
Sumpah sengaja
Tercipta
Buat menutup rapat
Hasrat durjana

Pada bangsa
Yang kian lupa
Erti merdeka
Pada mereka
Hanya bendera
Simbol agung bahagia
Pada matawang
Kerusi kerawang
Tempat duduk politikus curang

Jutawan
Yang berdedai menuju gerbang
Isteri-isteri ke gedung bergebang
Sedang pengemis di kaki ditendang

Kita terus lukai maruah
Setongkol resah
Duit di peti
Tak pernah luak
Bangsa sendiri dikelar berdarah
**********
swakarya: Rash Rozhams

monolog dalam gerabak tua



Dalam debar aku melangkah
Mengintai-intai dari gerabak tua
Berhenti seketika
Muntah penumpang berjuta
Menyedut semua manusia
Bergegas ke lapangan usia
Bersesaklah semua
Bercampur baur bau dan deria
Menghirup udara yang tersekat di dada
Suka
Suka
Suka
Mencuci mata
Melihat wajah yang asing
Mendengar suara yang bising
Menikmati telefon bimbit yang berdering
Biarkan aku melelap lelah
Dalam kotak berhawa dingin aku berkhemah
Destinasi ku masih jauh terarah
Sana
Sana
Sana
Sepuluh stesyen lagi
Aku harus nanti
Sambil mencari-cari
Mana tiket ku tadi
**********
swakarya: Rash Rozhams

Alexei, Puisi Sepi Buatmu


Alexei, Puisi Sepi Buatmu
(Цесаревич Алексей Николаевич)

Alexei putera
Kau bukan Anastasia
Bisa jadi lagenda
Dengan warisan dilema
Sedangkan kau juga
Pewaris empayar duka
Terlantar di ranjang bencana

Alexei putera
Megahkah kau pada mahkota
Yang tak pernah kau belek?
Hebatkah gelar mulia
Yang diherdik?
Terjunjungkah Dinasti Romanov
Yang mereka robek?

Apa yang kau tahu
Putera kecilku
Selain meratap pilu
Ketika soldadu
Berdiri di pintu
Kau duduk terdiam di bangku
Bersimpanglah peluru
Menuju tepat
Ke jantung kecilmu

Kesatlah airmata
Tersimbah
di dada keluarga
Jernih
bertukar merah
Air beku
menjadi darah kaku

Pusaramu kian rebak
Di tengah kota
Revolusi bergerak
Di hujung senjata

**********
swakarya: Rash Rozhams

Aku bercerita padamu, Segenting Kra



Aku bercerita padamu Segenting Kra
Khabarkan pada dunia
Tentang sebuah negara
Yang tak pernah dijajah
Bebas seluruh tanah
Melata seribu gajah

Aku tahu, Segenting Kra
Telah berdiri semua Angkor Watt
Megah dan utuh di balik tembok kuat
Kebal dari ancaman senjata peluru hebat
Takkan berbunyi loceng kuil
Tidur amanlah lelabah yang bersarang di katil

Itu dulu, Segenting Kra
Cerita lama
Sejarah bukan pendengki
Masa takkan iri hati
Semua tunduk simpati

Bergegarlah selatanmu, Segenting Kra
Dengan angkatan
Atas nama perjuangan
Bawah sepanduk agama dan keadilan
Sedangkan di tepi sungaimu
Berbondong perahu lanun
Membawa hibbah tak bercukai
Dari seberang pengkalan jiran
Yang cuma mampu tumpang kasihan

Bumimu kini, Segenting Kra
Bukan tanah sejuta senyuman
Bukan lagi syurga idaman
Kereta kebal memenuhi laman
Laungan geram memenuhi jalan
Soldadu tunduk patuh gencatan

Segenting Kra,
Apa lagi yang mampu aku redakan
Selain angin kedamaian
Yang semakin hangat
Bersama datangnya demokrasi
Pilihanraya basi
Gawat ekonomi…
**********
swakarya: Rash Rozhams

Pesan Keluargaku Tentang Ramadan


Datukku pernah kata
Ramadan itu ada sentiasa
Sabar itu ada pahala
Syaitan itu dirantai anggota
Selepas itu datukku pergi

Nenekku pernah kata
Puasa itu banyak hikmahnya
Dugaan itu sejuta caranya
Lapar itu tajam senjata
Selepas itu nenekku pergi

Ayahku pernah berkata
Iman itu peneguh jiwa
Haus itu penghilang dosa
Cabaran itu ada dimana-mana
Selepas itu ayahku pergi

Emakku pernah berkata
Ramadan itu pelengkap masa
Syurga itu terbuka pintunya
Malaikat itu membawa sejahtera
Selepas itu emakku pergi

Aku yang tertinggal di pintu
Duduk memikir di bangku
Tentang semua yang dikata
Mampukah aku seperti mereka
Pergi dengan pesan tersemat di dada
**********
swakarya: Rash Rozhams

Buaian Yang Putus


Gayat
Melihat ke bawah
Pada ayunan yang lemah
Tetali kapal
Kita jadikan ampaian kukuh
Menanggung beban
Menderu laju ke udara
Menghentam zarah tak bernama

Terus
Hingga santak pinggul
Mengundur ke belakang
Berkeriut dahan
Bergegar pucuk hijau
Sedangkan buah dah lama gugur
Menjadi habuan jiran

Berbuailah kayu reput
Menjadi alas duduk sekampung
Tempat bermain perasaan
Meluah angan syahdu
Melepas dendam rindu
Sang kekasih konon pemalu

Bertemu kita di buaian ini
Menggelongsor segala mimpi
Hayunlah setinggi langit kirmizi
Dan buai lena mencecah ke bumi
**********
swakarya: Rash Rozhams

Serkap Jarang


Serkap jarang
Tersangkut pada pohon kebenaran
Kian usang
Dan jatuh menimpa perdu
Dan akar menjalar menuju
Tanah gersang

Rimbunan tindakan
Luar jangkaan
Membumbun acu resah
Di ranting kering
Menjulang ke arah mentari
Membakar setiap urat daun
Yang mula gugur
Ke atas busut tinggal
Tempat tumpang segala
Roh jahat dan garang

Datang seorang pendeta
Mengutip anyaman serkap
Yang berguling jauh dari dahan sangkut
Dipikul pada bahu letih
Dijumjung pada jemala hangit
Menongkah langit cerah
Dipulangkan serkap
Pada tempat asalnya

Tersangkutlah kembali serkap jarang
Sedangkan pohon kebenaran mulai rebah
Tuduhan menjadi baja mujarab
Dari titisan alasan mencurah
**********
swakarya: Rash Rozhams

Batu Cemburu Buta


Seketul batu besar
Di tepi longkang
Yang cemburu
Pada batu-batu kecil
Di tepi rumput hijau

Mari sini kata batu besar
Aku lebih tua
Lebih tahu
Lebih berajar

Kau jangan biadap
Aku lebih mulia
Kerana itu aku berlumut
Jadi tempat duduk
Tempat bersandar
Para pembesar

Mana mungkin aku dapat ke arahmu
Kata batu kecil
Bukankah kita batu
Keras dan berat
Kau jerit saja
Aku dapat dengar dari sini

Batu tua terus membebel
Tak tentu hala
Tak berhujung pangkal
Jangan cuba menjawab
Bila tuduhan aku lemparkan
Maka berpanjanganlah nasihat percuma
Yang hanya didengar separuh peka

Biarlah kau si batu tua
Kata batu kecil
Aku tahu kau cemburu buta
Batu yang berusia
Aku tahu kau siapa
Cuma batu runtuhan kota lama
Sedangkan aku batu dari istana

Suka hati kau batu tua
Tempatmu memang patut
Di longkang hanyir sana!
**********
swakarya: Rash Rozhams

Pergilah Sahaja (Buat CKL)


dalam setiap tindakan
aku dipersalahkan
meskipun aku hanya membuka
sedikit cerita tentang kita
apa yang perlu kau rahsia?

aku bukan bogelkan kau dalam terang
bukan juga bongkar kau secara berhadapan

apa yang perlu kau takutkan?
gentarkah kau pada mereka yang kau panggil kawan?
mampukah kau angkuh di hadapan tuhan?

aku tak mahu ucapkan maaf
atas kesalahan yang bukan aku sengajakan
aku tahu kau bongkak
tak mahu diasak

jika itu yang kau pertahankan
maka berkecailah penantian
aku tahu kau takkan menyapa
kerana kau takut pada hakikat yang nyata

aku tahu kau siapa
dan manusia jenis apa
yang berikan salam
lalu pergi
jauh tanpa pamitan
tanpa bicara

bernilaikah maafmu
bodohkah aku
jika aku mengaku
yang aku terlupa
bahawa kau terlalu menjaga maruah
sedangkan kau tahu apa yang aku resah
bila kau menyalahkan semua
pada aku yang kau kata "Yang Mulia"

jangan tinggalkan apa-apa
pergilah kau sebelum ada air
mengalir dari mata
**********
swakarya: Rash Rozhams

Bila minda tertekan


Berteleku di hadapan monitor cahaya
Berfikir jauh apa yang kita suka
Mencari gobok minda
Menyelongkar seribu idea
Yang tak muncul tiba
Dari kekunci kaca
Besarnya pengaruh orang kaya

Tertekankah akalku
Sewaktu arahan mengherdik kemampuanku
Mengusaikan masalah daya
Dalam kekeringan capai apa sahaja di benak
Kawan, bukakan selak
Yang mengurung senak angin
Yang menunggu di usus luka

Lepaskan semua yang kau inginkan
Ikut segala peraturan
Ikat segala perundangan
Di depan monitor rata
Yang kita panggil paparan dunia
Menjelmalah kristal rata
Bergenanglah airmata
Di otak yang tandus
kata bantu
Yang kudus
nyata buntu

**********
swakarya: Rash Rozhams

Bila kata hati mula berdetik


‘Bila hati bertemu hati’
Terbukalah rahsia yang kau simpan kini
Terbacalah aku pada luahan paparan hiba
Terlerailah gumpalan ombak duga
Yang cuba kau gagahi
Percayalah aku tak hirau siapa kau kini
Percayalah bahawa aku tak takut mati

Takkan cemburu buta
Tak mahu syak wasangka
Hindarkan rasa curiga
Bunuh segala rasa pedih luka
Yang datang bersama ombak menggila
Di kaki ‘si pemuja cinta’

‘Bila kata hati mula berdetik’
Berkumpullah segala impian menggunung
Yang asalnya aku sahaja yang usung
Dengan canggung
Ke arahmu aku longgokan harapan
Kau kuis segala kepalsuan
Dengan kaki kemewahan
Dengan betis kesucian

Terima kasih kerana kau luahkan
Pendaman susunan perasaan
Yang kau atur mengikut skala kerinduan
Ukir cemburu ku di pasir pantai
Lukiskan rindu pada batu yang takkan usai
Dan bila ombak datang hampir
Hilanglah munafik kafir…
**********
swakarya: Rash Rozhams

Cermin Beralas Berahi


Benarkah kita berpijak pada satu keping hati,
Yang merah,
Kau alaskan
cermin berahi,
Terpanah terus ke dasar cahaya,
Atau tersasar jauh ke perigi,
Kering dan sunyi.

Aku tahu kau suka,
Bila aku juga lafazkannya,
Biar tanpa kerdip mata,
Tiada nafas terhela,
Namun dari separuh jiwa,
Yang berahi,
Akur sesungguhnya,
Hanya kau
di cermin jiwa,

Tersungkurkah langkah,
Bila kau tiada,
dengan hati parah,
yang kau ubati,
dengan perkataan tiga patah,
hati-hati
bila cermin beralas berahi,

perlukah aku ucapkan lagi?
kata itu,
di hadapanmu?

Sayangku,
selalu ku alaskan rasa ini,
Dengan sutera berenda,
Buat lapik lenamu,
Atau ketika kau leka,
Melihat “kita” dengan muluk,
Infiniti…
**********
swakarya: Rash Rozhams

Tulislah Segala Kebaikanmu


Tulislah segala kebaikanmu
Di atas kertas
Agar semua tahu
Kau bukan pengampu
Bukan juga seorang peminta balas
Yang mengemis di atas kanvas

Berceratuk segala mata pena yang tajam
Dakwatnya adalah amalmu
Bertaburan dan hitam pekat
Rancak celoreng
Dari hujung ke hujung
Tanpa mahu berhenti

Betapa banyaknya amalanmu
Kau coretkan di atas kertas
Untuk dibaca
Oleh sekalian manusia
Yang kerap mendabik dada
Betapa “Akulah raja
Yang paling hebat duga
Sedangkan kalian hanya
Hamba bawahan
Mengharap ihsan dari ketandusan!”

Tulislah lagi segala kebaikan mu tadi
Dari langit ke hati
Dari bumi ke jari
Rancaklah segala tari
Yang gendangnya kau palu sendiri
Setiap kali kebaikan mu kau catat ke atas kertas
Yang kau panggil diari

Tulislah kebaikanmu berulangkali
Mendabik dada tanpa henti
Biar angkuhmu tercium wangi
Pamerkan pada manusia alpa
Yang khusyuk sujud di kaki hina
**********
swakarya: Rash Rozhams