Simpulkan Semua


Silap kau juga menyimpul semua
Kerana masih tiada bertemu jawapan
Pada soalan yang kau sendiri tanya
Ketika tangan mabuk dengan untaian palsu

Tenang
Tika hati bertendang
Anggun kau bersolek
Dengan pelbagai warna
Dan arca masa depan
Kau bandingkan dengan dirimu sendiri
Tidak kau penat beriri hati?

Yang gah
Tak berganjak
Memanjat perlahan jerjak silam
Lenguh berdiri di tepi sumur ingatan
Meracau ikhtiar dengan ratapan
Hanyut perasaan

Tertembus amarah terkial jasad
Lalu terdampar lemah tanpa wudhuk
Melihat pantukan wajah di mirat retak
Dan meriam nafsu termuntah
Menyentak kaki tempangmu serentak
Ramailah yang berbondong tiba
Melawat bukan merawat
Semakin kotai
Terungkai

Siapa berani sanggah?
Jika kau masih belum temu jawapan
Dengan simpulan wayar masih belum kau jumpa hujungnya
Pada silapmu yang kian bertambah punca


**********
swakarya: Rash Rozhams

Gratis, kau bayar!


Gratis
Adalah bayaran mewah
Yang perlu kau hulurkan pada bangsamu
Untuk meneguk sesudu bahagia
Lalu kau hidangkan pada tetamu

Ramah
Adalah senda yang kau anggap serius
Ranting dihujung perdu
Kau rawat
Sedang akar kau gigit perlahan
Dengan ramuan tak bersukat

Fobia
Adalah hak yang kau hadang
Dengan tusukan ucap
Ulama yang kau tinggalkan
Lalu kau sewa si sewel
Sepuluh ikat upah yang kau bayarkan
Naskah nyawa kau niagakan

Mangu
Adalah reaksi kala ditanya oleh SiPencipta
Tentang mamai lumpur panca bicara
Menggeledur ikat perut hijau
Lenyap di lereng keinginan

Lupakan pantun serangkap
Yang kau cipta dari papan pecah
Tak siapa peduli
Keliru adalah juga gratis
Tak perlu dilakon
Tak mahu diampun


**********
swakarya: Rash Rozhams

Memilih malang



Yang lebih malang
Adalah abjad-abjad kalut
Tertera di atas sekeping hati luka
Ghairah tersayat
Habis tandus

Malang ku bawa lari
Menyusup gunung
Dan terowong pedih
Hitam di seberang sana
Tak dipeduli damai
Mabuk tergadai

Terkupas segala malang
Menghala ke juzuk barat
Tersesat langkah dalam silap
Mengalah hati dalam tewas
Tanpa laungan jampi balas
Berkumandang bersama sayembara
Tersedar berkali

Malang ini
Merujah timbunan zarah
Lantas mudik ke hujung sangkakala
Gadaikan dosa masa silam
Bersimpang siur pedoman
Keliru mencari

Untung nasib
Dipilih rawak sebarangan
Dari catatan malang
Yang terus memburu
Bangkit dan melayang
Tanpa isyarat amaran
Melulu ancaman

Benarkah malang bertimpa
Dapat mencuci sedikit dosa?


**********
swakarya: Rash Rozhams

Bertandu Angkuh Darjat



Nyalakan obor yang terlupa
Padamkan suluh sengsara
Yang padan dengan ketipisan titah
Mamai mengira manik-manik masa
Lalu dimarah manja

Di atas marmar tersesat
Tersimpang deru
Pada jiwa terjumlah ilham
Ilmu tanpa had
Terhampar di haluan
Menghalang tamu yang bertandang

Bertandu
Berarak di tanah yang membara,
Batas segala bayang terjelma

Aku bayar dengan niat wajib
Dan wirid tersusun ajaib
Menyusut syair tentang sungai sutera
Tak tersentuh oleh betis dan rusuk
Tersedu puji dek loya
Berlumur di atas rumbia lama
Melampai lampu di kaki gereja

Hanyut bergesel fikir
Berdamping sirah dendam si fakir
Berderai cemburu
Terduduk membilang benang terikat di akal yang membengkak
Angkuh sang angin
Mencungkil intan yang beristirahat
Di dalam istana dan lombong
Mabuk dengan majlis mewah
Tak terpagar pangkat
Tak terkepung darjat


**********
swakarya: Rash Rozhams

Loceng di tepi lorong



Tiupan angin menderu
Menghunjam lurus pandangan simpati
Menimbang-nimbang sela tadarus
Dari sanggar sangka
Yang tiada harakat
Bebas dari orbit sensasi
Yang kian menyesak langit bebas

Terkial-kial mencekau loceng
Di tepi lorong keramat
Menyungkup ragu dalam selubung
Tanpa tajwid membelit rukun
Yang ada hanya beduk kempis tertidur
Diulit pawana yang mengendur

Setelah loceng berbunyi
Berkumurlah segala
Terhambur apa yang dikunyah sekian lama
Selagi sayang membara
Selama itu malaikat setia


**********
swakarya: Rash Rozhams

Surat Untuk Tuhan


Termenung
Di meja nyatuh
Berkerusi jati putih
Sambil memegang
Sekeping borang amalan
Dari tadi digenggam
Perlahan diletak ke rak kayu berukir
Bernama ‘tiket ke syurga’

Terkial-kial
Menyelongkar album usang
Mencari gambar mewah
Yang terlihat cuma
Sekeping foto bernama ‘maruah’
Untuk dikepilkan bersama senarai pahala

Dia terus mencari lagi
Cop pengesahan berdakwat jernih
Sedangkan tinta hitam
Makin bisa dibilang

Lalu borang diletakkan di dalam sarung kalis malu
Dialamatkan pada tuhan
Tanpa setem penanda bayaran
Tanpa upah penghantaran


**********
swakarya: Rash Rozhams

Sang Gadis Yang Menyapa Angin


Seorang gadis mengheret selendang
Dari bahu putih yang sendeng
Memakai kebaya maruah
Dari kain murah kusam,
Menyapa yang lalu lalang
Ramah yang tak perlu

Memohon sang gadis tadi
Pada bayu agar merempuh
Alunan jiwa yang kian tersiksa
Dengan rindu menjauh
Yang tak berdaya ditahan
Adalah tangis kasihan

Terhembus sekali lagi
Bayu kemaafan dari langit terbuka
Di balik dendam sedasawarsa yang songsang
Puput sesat di tengah padang kering
Hangat dan gering
Bersatu dengan embun yang tertinggal
Pada waktu dhuha

Bersemuka sahaja gadisku
Wajah mengharap takkan merubah sedikitpun takdir
Pada angin yang tertitip, pada batu yang tertancap
Lewat laut, ikut maksud
Hampa

Andainya aku yang bersalah
Luah gadis
Ku rayu Engkau
Hembuskanlah
Meski angin takkan terhenti
Di hujung padang ini aku sabar menanti
Angin datang lagi ke wajah ini
Menyusuri kelopak mawar hitam
Yang kian layu
Di sisi mata ku

**********
swakarya: Rash Rozhams

Awan, Aku selalu melihat kau...


Awan
Aku selalu melihat kau
Menjadi selimut kemban
Ayunda kian haru
Sendiri menentang
Sepoi tak bermakna
Badai tak bererti

Awan
Aku selalu melihat kau
Menjadi ambal
Dengan warna tulus
Untuk mereka pesongkan warna mentari
Kusam dan legap
Pelamin indah
Kasih menjulang langit
Parah

Awan
Aku selalu melihat kau
Menjadi pamor
Menikam ruang neraka
Melabrak ciptaan manusia
Bolak-balik
Teratai tinggi
Sepi tak berbunyi

Awan
Aku selalu melihat kau
Menjadi pengurah kohong rasa
Meruapi Semendarasa
Wangi wangsa
Hampa


**********
swakarya: Rash Rozhams

Seloroh dalam Syahdu



Tawa hambur bersyarat
Senyum tatkala hati tersayat
Pedih dan dalam luka
Mata tak mampu menipu

Rosak tak perlu diturap
Dengan jenaka
Yang kian membunuh girang
Sedang suka berwalang durja
Pentas ini kita hamparkan
Selendang koyak berwarna ungu
Dan tirai dunia membelenggu
Gigi putih terserlah
Sedang jiwa makin parah

Tepukan hadirin
Buat aku makin syahdu
Melihat jasad berselubung
Seloroh dalam bual
Tangis dalam mual
Itulah hidup namanya
Inilah seni hasilnya


**********
swakarya: Rash Rozhams

KITA KETEMU LAGI, BULAN



Berkurun mengadu padamu
Bulan yang retak
Tercalar ranting tua
Hujung puncak cahaya
Makin kelam ketara

Ingat bulan
Aku ditemani pelita
Berikrar tentang impian lama
Takkan kesampaian
Sudahnya

Pernah kau lihat aku
Berputus asa
Mencurah seksa
Di dada bintang perit
Tetap tercegat mengungkit

Tersenyum kau bulan
Menyuluh jasad ini
Dalam gelita yang kita undang bersama

Tertinggal aku kini bulan
Bersama harga yang tiada

Dan engkau bulan
Semakin retak ditujah minta
Berbalam hasrat ini
Mungkinkah kita ketemu lagi
Kan bulan?


**********
swakarya: Rash Rozhams

CADAR BARU



Hari ini emak tukarkan
Cadar baru di katil rindu
Menyambut sijantung pulang
Membawa teman jiwa tanpa restu

Lapik gebar berbunga
Emak kait seribu rasa
Menunggu si buah hati pulang
Menggalas wang
Yang tak pernah dikirim
Sebagai harga jasa

Selimut berwarna ceria
Emak letak di hujung pangkin pusaka
Buat menutup kaki anak
Yang jarang bertandang
Membawa bahagia

Dan cadar masih tak berusik
Gebar tak rela ditarik
Selimut tak langsung berlapik
Anak tak kunjung balik

Emak, simpanlah semua itu
Anak tak kan menjengah
Yang datang
pasti cuma debu haba
Memenuhi cadar baru
semalaman emak usaha


**********
swakarya: Rash Rozhams

Telekung Batik Dan Ihram Sutera



Panas
Berlari mengejar pahala
Bersesak satu hati
Melihat tompokan nyawa
Bersalut ihram sutera
Di balik kain hitam Kaabatullah
Besar

Putih telekung jutaan umat
Manakan sama telekung batikmu
Yang menyerlah dek keagungan
Mewah import
Bergemerincing besi kaki
Ulang Safa ke Marwah
Berlari terus ke Jeddah
Menjijit bersama riak
Tak tinggal di rumah

Ihram sutera itu kita baluti
Mengganti perca handalan
Tak serap peluh
Tak kenal hujan
Dinginnya telekung batik
Di celah ruapan pasir tandus
Mewangi tengit hapak
Mengganti kulit berbedak

Wangi kapas jenama
Mulut terkumat kamit kagum pada hebatnya
Membaca megah, terlupa doa yang ditadah

kami datang ya Allah, menyambut seruanmu ya Allah, bertelekung batik kami ya Allah, berihram sutera ya Allah

Lajukah doa kami menuju Sidratul Muntaha?
Hebatkah kami di sisimu ya Allah?


**********
swakarya: Rash Rozhams

MUNAJAT SUBUH DI TIANG BALDU


Semarak warna kalbu
Wahyu menggunung
Terus ke hampar beradu
Tika kita bermunajat

'Sepi tak bisa dikongsi'

Tasbih tak lekang
Kelingking malam

Berdoa
Agar umat tak meracuni
Mata syaitan terkutuk gelita
Sapukan sayu
Pada wajah senusantara

Munajat segala sendi
Tafakur khalwat
Maksum pada hati
Cuci payah iri
Dan malaikat pencatat kiri
Menggeleng tak berhenti

Di tiang baldu
Manusia menatap
Rongga palsu
Jejeran airmata menghambur sendu
Malam munajat

kita syahdukan lagi
Tertadah ampun tanpa sabdu benci
Hening malam hilang
Tika dia tersandar kaku
Di tiang baldu


**********
swakarya: Rash Rozhams

Katup Pintu Depan


Katup pintu depan
Aku tak mahu memandang luar
Kerana cahaya cemburu
Menunggu untuk menerobos

Kunci segala selak
Usir semua gerak asing
Yang mengetuk urat kayu
Menipu sebagai tetamu

Lorek salam tanpa senyum
Kemarilah kau
Tunggu aku
Meniti alang pintu
Menjemput masa sebelum berlalau
Janagn sekali bawa dendam lama bersama
Maruahku dah berbirat
Memenuhi langsir berkarat
Kurentap menjadi kain basahan
Gelap menghisap noda semalam
Yang terpalit pada pintu kaca kopak
Dan selak antik
Menjadi penahan angin
Datang pada setiap kali
Berdiri di alas kaki

Tolong tutup pintu itu
Kerana aku gentar pada dia
Yang muncul entah dari lubang mana
Biar aku lari
Tolong kunci
**********
swakarya: Rash Rozhams

APA BUNYI ITU?


Kringgggg
Bringgggg
Ryinggggg
Tingggggg
Winggggg
Chinggggg

Keriau kumpul seriau
Bising satu semesta
Pekik sejuta kata
Persetan semua bicara

Nyinggggg
Sringggggg
Twinggggg
Linggggggg
Pringggggg

Jangan henti desiran
Biar deringan kocak
Ketuk segenap kudrat
Kuat desiran ombak
Agar aku tahu
Aku masih tak pekak!!!!
**********
swakarya: Rash Rozhams

REINKARNASI


Bertuahlah kamu
Dalam kelahiran ini
Memijak bumi merdeka
Menghirup bayu sejahtera
Kerana aku perlu
Lahir semula
Dalam satu bentuk
Yang tak terjangkau
Dalam nafasmu

Hari ini
Ketika itu
Aku hanya mahu
Berinkarnasi
Agar aku beroleh semua
Sepertimu tadi
Dalam diam dudukmu
Dalam getar kaku
Dalam heboh gendang
Bersama angin lintang

Lahirkan aku kembali
Menujah generasi buta
Gerbang alaf senja
Aku mahu kaya
Aku pingin raya
Matikan aku sekarang
Aku bosan menjadi beban.

**********
swakarya: Rash Rozhams

100 MITOS


100 mitos aku lempar
dalam selembar daun kecil
ku kutip dari laman asing
ku jemur elok kering
ku simpan kejap
dalam laci rahsia
paling bawah berwarna jingga

dakwatnya aku pekatkan
bercampur debu amarah
gugur dari candu basah
merosak setiap helaian daun lontar
ukiran mitos yang aku reka semalaman

ambillah sehelai, kawan
untuk kau baca terang-terang
jangan kumal dahulu
sebut berulang
lagenda gila menghibur royan
simpan dalam tempayan
zaman
**********
swakarya: Rash Rozhams

Luka Bangsa


Kita lukai maruah sendiri
Bukan dengan belati
Tapi dengan janji
Berlari meniti
Sumpah sengaja
Tercipta
Buat menutup rapat
Hasrat durjana

Pada bangsa
Yang kian lupa
Erti merdeka
Pada mereka
Hanya bendera
Simbol agung bahagia
Pada matawang
Kerusi kerawang
Tempat duduk politikus curang

Jutawan
Yang berdedai menuju gerbang
Isteri-isteri ke gedung bergebang
Sedang pengemis di kaki ditendang

Kita terus lukai maruah
Setongkol resah
Duit di peti
Tak pernah luak
Bangsa sendiri dikelar berdarah
**********
swakarya: Rash Rozhams

monolog dalam gerabak tua



Dalam debar aku melangkah
Mengintai-intai dari gerabak tua
Berhenti seketika
Muntah penumpang berjuta
Menyedut semua manusia
Bergegas ke lapangan usia
Bersesaklah semua
Bercampur baur bau dan deria
Menghirup udara yang tersekat di dada
Suka
Suka
Suka
Mencuci mata
Melihat wajah yang asing
Mendengar suara yang bising
Menikmati telefon bimbit yang berdering
Biarkan aku melelap lelah
Dalam kotak berhawa dingin aku berkhemah
Destinasi ku masih jauh terarah
Sana
Sana
Sana
Sepuluh stesyen lagi
Aku harus nanti
Sambil mencari-cari
Mana tiket ku tadi
**********
swakarya: Rash Rozhams

Alexei, Puisi Sepi Buatmu


Alexei, Puisi Sepi Buatmu
(Цесаревич Алексей Николаевич)

Alexei putera
Kau bukan Anastasia
Bisa jadi lagenda
Dengan warisan dilema
Sedangkan kau juga
Pewaris empayar duka
Terlantar di ranjang bencana

Alexei putera
Megahkah kau pada mahkota
Yang tak pernah kau belek?
Hebatkah gelar mulia
Yang diherdik?
Terjunjungkah Dinasti Romanov
Yang mereka robek?

Apa yang kau tahu
Putera kecilku
Selain meratap pilu
Ketika soldadu
Berdiri di pintu
Kau duduk terdiam di bangku
Bersimpanglah peluru
Menuju tepat
Ke jantung kecilmu

Kesatlah airmata
Tersimbah
di dada keluarga
Jernih
bertukar merah
Air beku
menjadi darah kaku

Pusaramu kian rebak
Di tengah kota
Revolusi bergerak
Di hujung senjata

**********
swakarya: Rash Rozhams