SERIBU hari jadi lagi


Setahun lagi
Aku tempuhi
Dengan niat bersakti
Dan nanti ku dilepas bersendiri
Untuk setiap yang kau mungkiri
Tak perlu gantung SERIBU tali

Nota berwarna merah hati
Terlakar catatan suci
Yang lahir dari bibir murni
Dari wajah kedut sunyi
Adalah SERIBU sumpah tak bersaksi

Bila begini
Terbiar menanti
Salahkah aku lagi
Walau telah ku luang SERIBU masa ini
Satu janji masih tak kita penuhi
Membuang sepi

Yang terbilang di jari kaku
Sewaktu hari lahirku
Adalah cuma SERIBU rasa jemu
Menunggumu

********
swakarya: Rash Rozhams

Pergi tembusi sendiri


Berikan aku sebuah negeri
untukku berlari
Pedih lubuk hati
Menanggung cukuplah ini
Tubuhku sendiri
menari

takkan aku minta selainnya
tidak juga kau atau dia
kerana aku pasti
rintih takkan kau dengari
mengetuk pintu langit suci
lebih mudah dari menangisi
mencari kau agar kembali

bulan di tempat itu
tak sebiru
di depanku
pergilah bersama deru
aku tak lagi mahu
menantimu


********** 
swakarya: Rash Rozhams

Rahsia, jika itu yang kau mahu



jika ini yang kita mahu,
tanggung lara
terima segala
maka itulah yang aku hulur seadanya
dengan rela
tiada lagi pendam kesat senak dada
dendam yang tak terbatas seusai usia
jatah warna rona pesona

Jika itu
apakah terluah lagi
ucapan yang terbuku?
adakah makna seri
senyum di bibirku?
apakah pula erti
linang airmata di pipimu?

ahhh, kalau lah kau tahu
betapa kejap aku 
menggenggam rahsia itu
Pilu....

********** 
swakarya: Rash Rozhams

Cukuplah Hanya Seorang



Cukuplah hanya seorang antara kita

yang perlu kota kata

dalam dolak dalik mana

tukar ganti pandang mata

masih tak mengerti makna



Cukuplah seronok seorang sekali

Bermain teka teki

Terganggu jawapan bila diuji

Dengan lamunan nasib diri

Sembunyi kunci mati mati

Berterbangan lebih mudah

Dari merangkak di tanah

Lara lebih indah

Bila mimpi kerap tak tersingkap terluah



Cukuplah hanya seorang yang menunggu

Siapa tak pernah merindu

Sekali sekala dalam waktu

Jangan cuba membohongi dirimu



Cukuplah hanya seorang

Yang menulis puisi girang

Dan berpura pura masih ada ruang

Yang sebenarnya kontang



**********
swakarya: Rash Rozhams

dari mata hati



Dari pintu hati
Aku mengejar ekor mata bersaksi
Sakit terpijak duri
Luka memakan dalam sanubari

Senandungkan nyanyian gila
Pada pelangi yang tiada warna
Membilang rindu pada setiap kata
Hilang punca
Kecewa sekian lama

Perit setahun lalu
Meniti tahun baru
Tanpa erti
Tanpa sebarang makna diri

Hanya kelabu
Pada mata hitamku
Di angkasa mimpi
Berdiri membilang sunyi
Harga nyawa ini

Sesungguhnya
Bernilaikah aku di mata tuhanku?
Berdosakah aku pada tuhanmu?

**********
swakarya: Rash Rozhams

Bila Kau Tiada



Apa yang aku ada
Bila kau tiada
Untuk manusia seperti aku
Dan setiap urat rasa menipu
Yang lama aku senyumkan
Kosong dunia ini kau tinggalkan

Apa yang aku ada
Bila kau tiada
Selain tangisan ikhlas
Dan senyumku yang takkan mampu lagi kau balas

Apa yang aku ada
Bila kau tiada
Selain kecewa setiap masa
Pada malaikat pencabut nyawa
Pada masa yang terlalu kejam berdosa
Kerana pada akhir pertemuan kita
Masih terasa kau mampu membuatkan ku bahagia

Tuhan,
Semangatku kau kuatkan
Kerana hanya itu yang aku perlukan
Dan itu yang aku ada bila kau tiada
Itu sahaja…

**********
swakarya: Rash Rozhams

Masa Setia Sia-Sia



Seminggu ku berpesan padamu
Sehari pun kau tak mahu ambil tahu

Kesal menunggu
Sebaris sendu
Yang dijamah hanya sekelumit
Yang kenyang hanyalah perit

Terkial-kial melangkah
Sukma kujumpa pasrah
Sangka baru bahagia
Tepis kenangan lama
Tak siapa ingin setia
Jika untuk sia-sia

Aku tahan seribu makian
Yang di lemparkan
Hanya satu keangkuhan
Yang kau tinggalkan

Melihat ini tidakkah kau kasihan
Pada manusia yang hilang ketabahan

Cuma satu perlu kau tahu
Pedih rasa kalbu
Bukanlah jawapan yang ku tunggu

Berkurun kukumpul sumpah di dada
Sedetik kau ambil untuk memungkirinya…


**********
swakarya: Rash Rozhams

Ubahlah


Ubahlah senyuman
Pahitnya pengalaman
Takkan tercapai seribu haluan
Takkan bermakna satu penyesalan
Semakin tawar kesetiaan
Semakin hancur perasaan

Ubahlah apa kata manusia
Peduli apa yang dirasa
Mereka bukan di syurga
Kita bukan di neraka
Ini dunia nyata
Menyesal adalah petanda
Sengsaranya sakit jiwa

Ubahlah prinsip hidup itu
Yang kau heret sepanjang hayatmu
Adalah selonggok batu
Yang namanya sendiri pun kau tak tahu

Ubahlah setia melulu
Buang angan harapan palsu
Penat menunggu
Sandiwara satu persatu
Habiskan nada dan lagu
Cinta lama yang masih membelenggu
Dengkuran malammu

Ubahlah harga diri
Jangan bertanya lagi
Sekalipun kau merindui
Setiap hari

Ubahlah hati ini
Dia telah lama mati


******************
swakarya: Rash Rozhams

Hari-hari tenangku...




Dalam hari-hari ini
yang kulalui
ada tenangku
tanpa ganggumu.

Lega dalam hari-hari ini
aku tepis rasa menggunung rindu
yang palsu
letih aku pada asakmu
atau gugat katamu
yang bagai membunuh seru.

Bagai ada satu rasa yang terlepas
dari jiwa yang selalunya keras
hari-hari yang rimas
bila aku ungkapkan kata
dan seribu rasa
dalam baris yang kau terus pertikai makna.

Jangan kau hantar lagi
mesej dalam sibuknya hari
dan biarkan aku
tenang dalam hariku
kerana aku yakin ini
aku tak perlu kau lagi.

****************
swakarya: Rash Rozhams

Mana, mana, mana...



Letih takkan berulang
Jika jawapan kau rakamkan
Terus dalam ingatan

Mana takkan ku tanya
Bila kau senyum selamba
Sedangkan hati meronta
Mendamba jawapan
Meski tak ikhlas
Asalkan berbalas

Aku tanya mana
Kau bikin diam tanpa bahasa
Apa guna lidah
Jika tak diarah
Pening akan mudah
Bila alasan kau muntah

Bertaburan mana
Ku kutip setia
Meski terpaksa berbongkok
Atau terjatuh songkok
Dari kepala yang makin serabut

Ahhhh mana-mana
Ku pandang gila
Pernah kau peduli
Mana hati
Yang kian bertanya
Mana semua
Mana hilangnya
Mana...



swakarya: Rash Rozhams

Sekiranya Akar Berbicara


Sekiranya akar berbicara
Banyak khabar duka kau akan dengar
Tentang hidup kayu menegak
Dan dedaun rimbun yang semakin segar
Tanpa perlu kau menyiramnya
Dengan sabar

Berteduhlah seribu saudagar sementara
Atau si papa kedana
Naungan itu tetap sama
Tanpa ada prejudis dan buruk sangka
Tanpa ada iri hati atau naik alis mata
Akar itu juga
Tetap menjalar jauh ke dalam bumi
Mencari-cari erti berdikari
Menerobos lubang tanah keras berdaki

Marilah kemari
Aku ceritakan tentang semua yang kau ingini
Ratusan tahun menyaksikan segalanya
Dari lubuk hijau yang buta warna
Akar bersirat yang tak terkira banyaknya
Lumpur hitam yang tak terselam jauhnya
Berdirilah kayu
Selama mana kau mampu
Bicaralah selalu
Pada rimba yang kau huni di hutan berdinding batu


Jangan kau cabut aku
aku masih mahu berbicara denganmu
Tentang nenek kedut seribu
tentang cucu yang derhaka selalu

**********
swakarya: Rash Rozhams

Itu Bukan Namanya



Itu bukan namanya
Bila kau bersama aku
Tapi mindamu bukan di situ

Itu bukan namanya
Bila kau pergi bersama teman
Sedangkan aku dikamarmu sendirian

Itu bukan namanya
Bila kita bertatapan mata
Lalu kau berpaling muka

Itu bukan namanya
Bila aku kau hubungi
Secara sembunyi-sembunyi

Itu bukan namanya
Bila aku cuba berbicara denganmu
Kau hanya diam membisu

Itu bukan namanya
Bila kau kata rindu
Tapi enggan untuk bertemu

Itu bukan namanya
Bila kau letakkan aku
Di senarai paling bawah carta hidupmu

Itu bukan namanya
Bila kau kata sentiasa
Tapi kau tak mengerti maknanya

Itu bukan namanya
Bila kau terlupa
Aku ini siapa





**********
swakarya: Rash Rozhams

KELAM ILHAM (SATU PUISI TERPAKSA)


Satu puisi mengejut
Yang kau pinta aku hasilkan
Adalah makna pengecut
Yang cuba aku sembunyikan
Di dada helaian rona putih
Yang kelihatan hanya hitam
Bila abjad tanpa maksud
Berpusing terus
Tanpa noktah kutemukan

Meskipun terus kucoret
Rantaian kata berbau paksa
Sedang di dadaku
Cumalah ada ‘tiada’

Bolehkah ku pasrah
Tanpa kuasa menolak arahan
Yang aku sendiri pertikaikan
Mana mungkin satu puisi indah terlahir
Dalam masa sesuntuk kelip mata

Yang aku nampak kini
Selonggok Ilham basi







**********
swakarya: Rash Rozhams

Bilik Latihan, DBP, 11 November 2008

Yang Mahal Adalah 'Kita'



Adikku,
Kau bukakan rahsiamu, satu persatu
Dengan sekali paksa,
Menelanjangi kesurupan minda
Dan resah yang kau simpan dalam dada
Yang murah adalah ‘simpati’
Yang mahal adalah ‘mengerti’
Percayalah, dengan hina takkan kau mati

Yang dungu adalah mereka
Cacat serba aneka
Prejudis tuli dan buta
Biarkan sahaja
Kebodohsombongan itu kan percuma
Yang mahal adalah ‘harga diri’ kita
Tak jumpa di pasaran terbuka
Terkunci di kaki syurga
Kita

Persetankan kenyataan dungu
Apa lagi anggapan palsu
Menuduh itu kan percuma
Yang mahal adalah ‘kesusilaan’ kita
Tak jumpa di lelongan pasaraya
Terlekat di pintu bahagia
Kita

Kau bukakan rahsiamu, satu persatu
Kali ini tanpa paksaanku
Kerana ‘kita’ adalah mahal
Yang murah adalah ‘si Abu Jahal’
Tak terkunci di kaki syurga
Tak mungkin terlekat di pintu bahagia


**********
swakarya: Rash Rozhams

Setiap senja itu, Iz, (Buat MFA)


Dan setiap senja itu juga, Iz,
Ada rasa terkubu
Di ruang berbumbung kelabu
Ukirlah katil kita dengan rindu
Tidurmu

Dan setiap senja itu, Iz,
Di tepi ampaian kain
Kita sangkutkan nafas desah suara
Kering rawan dicorong telinga
Jauh kau kata jelas
Ikhlas

Dan setiap senja, Iz,
Tawamu menawar sumpah
Angan jahatku kau ratah
Dengan bisik azan nyata
Solat yang kau jaga
DoaNya

Dan setiap, Iz,
Aku mahu ‘cinta’ sebagai sarapan
Yang kau janji
Cuma makan malam ‘persahabatan’
Malah, kalaku tanya perasaan
Fakta saintifik kau berikan
Berlegar di otak kotor
Tak mahu tersangkut
Jujur

Dan, Iz,
Aku mabuk
Sepanjang senja itu
Menunggumu!

**********
swakarya: Rash Rozhams

AKU YANG BODOH KERANA SETIA




Aku yang bodoh kerana setia,
Sedangkan kau mengumpul jaring luka,
Kau pateri menjadi penjara derita
Kau kurung aku perlahan-lahan
Ku biusku dengan angan-angan

Kau lebih hina dari sang pelacur,
Kerana yang menjual tubuh pun tahu
Mengapa dia menjual cinta
Dengan sekujur tubuh bermodalkan asmara
Sedangkan kau sendiri tak pasti
Mengapa curang begini yang kau ingini

Aku lebih bodoh dari sang badut
Yang menjadikan neraka sebagai bahan tawa
Yang memenjara hidup secara terbuka
Untuk kau aku dihina secara diam
Untuk aku kau tipu secara terang

Di sini aku masih bodoh kerana setia
Di sana kau terus berjanji untuk bersamanya…


**********
swakarya: Rash Rozhams

Tirani


Tangan-tangan khayal yang mengawal kawula
Memukat seteluk harapan palsu
Menelungkupi ruang-ruang hitam nian
Kenikmatan terhimpun dalam dukungan puspa
Menilai apa harganya sahifah hikayat
Terhijab di balik tiang nan bersopak

Ini bukan swastika
Ini hitungan mustika
Teranjak hulu hati
Menjauhi muraqabah azimat diri

Tandakan aku dengan sepotong doa
Bisa merubah pondok menjadi wakaf
Terhampar anani bersendiri
Sepi pujangga tanpa karya berdenyar
Nun jauh di kaki bukit

Kerajaan halusinasi
Tenggelam dalam hamam
Mencuci khilaf syahdu
Syahadat yang terlepas
Bersama syahid dihujung syahmura
Perjuangan tertempel di kertas emas
Sedang kobar terkurung di dalam kandang besi

Lupai segala tirani
Yang beraja di mata bersultan di hati


**********
swakarya: Rash Rozhams

Mampuku


Tak mampuku takluki kudrat
Yang aku peruntukkan untukmu
Bila berjuta cermin wajah yang aku pilih
Tiada satupun yang memantul cahaya
Ke rimba ria

Dan gema hati
Melingkari seluruh kamar jantungku
Meruap hawa jiwa
Dan mendap dalam gendongan
Terlingkar di bawah selimut carik
Dan gebar bercampur warna

Janganlah nanti kau ketawa
Ketika ku mendendangkan puisi bisu
Sengaja aku begitu
Menutup kesedihan dan tangisan
Dengan labuci seribu kemilau
Hanya syukur mampuku halakan
Di setiap doa-doa ringkas yang mampu terjawab
Mudah tanpa kiblat


**********
swakarya: Rash Rozhams

Kasih Tak Pernah Suci



Dosa yang mengalir
bersama wuduk air tertakung
disimbah mentari
selepas gerimis harapan
menggunung cahaya berseri.

Orang besar yang manja
Berhibur seharian di muka pintu
Bersama waktu yang terasa
Berlalu seiring pergi usia
Yang dibekal tuhan
Tiba dengan pelangi

Jangka panjang
yang pendek adalah usia kita
yang muda adalah hati mereka
yang tersisa adalah warna petang
hilang bersama si rambut perang

Si mata biru
yang tunduk pada syariat,
Memberi salam yang tak bersambut
Di pesantren milik seorang gadis
Yang tak mahu menyapa
Kesudian yang berkurun tak berusik
Impian hanya mimpi
Kasih tak pernah suci.



**********
swakarya: Rash Rozhams

Di Pena Jari Menari



Di
pena
jari ku
menari

Berentak Tango
Salsa Cha-cha
Berkembiri
Idea sebenar
Berlalu
Bagai puisi mimpi

Di sini
Berpenghujung
Helaian
Di pena jari menari
Lagi
Dahaga dakwat
Tanpa warna
Palit di depan
Khilaf tanpa erti

Berguling bebuli
Dekat
Di hati
Dalam kebesaran
Temukan
Rasa bahagia
Apabila Mentari
Bersinar
Jangan pena berubah
Tari
Di kubur
Akli


**********
swakarya: Rash Rozhams