Hanya Di Mata Menatap




Wajah jalang
Semua mata  memandang
Dari sudut yang terlarang
Bersama sedikit aksi telanjang
Dan pedihnya iman terhalang

Aku tak pernah peduli semua
Aku tak mau mati muda
Perlu apa bersembunyi muka
Hidupkan aku selamanya
Meskipun harus berdusta

Lihatlah kita
Yang kabur dengan kurnia
Yang jelas hanya cemburu buta
Bila kau duduk diam di sana
Dan aku berdiri dengan sejuta puja

Rakamkan saja semua gaya
Dan pancaran kamera yang menggila
Yang kau lihat adalah tubuh sempurna
Sedang kalbu kosong tanpa jiwa

Bukanlah seribu gambar
Yang kau kejar
Adalah nafsu yang menyambar
Yang kau puji tanpa sedar
Adalah sempurna yang paling hambar
Sedangkan hatiku terluka benar


********** 
swakarya: Azuan Zameer

Ku Simpan Rasa Itu Kini



Izinku menghampiri

Walau kau ada teman beribu di sisi

Walau kau tak mahu aku di sini



Aku tak mahu lebih

Aku cuma mahu kau tahu betapa perih

Untukku melangkah bersama sepi tersisih



Akur kekurangan sendiri

Tersedar pagi hari

Kau telah pergi

Sekali lagi



Aku cuma lelaki

Yang terpaksa senyum tutup pedih peri

Sedang hati ku paksa berdiri

Jiwa sebenar longlai tak bersendi

Kau lihatlah aku dari mata naluri

Bukan dari hati yang pernah aku lukai



Sesuatu yang didatangkan

Hanyalah pinjaman

Aku tak mahu kau pulangkan

Segala yang pernah ku berikan

Hadiah keindahan

Tak perlu kau persoalkan

Harapan



Tolong jangan pernah lagi

Berasa terhutang budi

Yang kau dapat kini

Cumalah secebis dari janji

Yang terpaksa aku mungkiri

Sekian kali


**********
swakarya: Azuan Zameer

Biarlah!


Dalam kocakan hati
Menggunung semangat yang mati
Biarlah janji


Adalah terselit suatu rasa keinginan
Untuk melontar jauh senaknya fikiran
Biarlah beban


Menggapai jauh kumahu mentari
Dan semaraknya benak yang kian menggila kini
Biarlah begini


Berbekal satu nafsu
Letih menggontai haru
Biarlah aku


Dalam kecelaruan punah sakitnya sendi
Ada ruang bernafas lega berdiri
Ku serak semua duri
Biarlah sekali


Izinkan ku menjerit derita
Agar dunia tahu ku juga manusia biasa
Biarlah kecewa



**********
swakarya: Azuan Zameer

Yang Pasti



Apa yang kita jumpai

Di celah-celah jari

Adalah cuma kotoran berdaki yang orang benci

Yang orang beri

Di tengah-tengah hiruk gegar hari

Adalah sepi mereka sedari

Yang mereka telah cuba lalui

Di hujung pelangi ketemu diari kosong tanpa isi

Yang kita cari

Adalah hati yang tak mungkin kembali

Sepanjang hayat yang kita temui

Bila terjaga sendiri

Sekali lagi

Adalah mimpi!



**********
swakarya: Azuan Zameer

Ku Sudah Penat Menunggu



Ku pungut sayu
Yang tertinggal pada setiap baris nafas
Dalam langkah kau pergi
Tanpa menoleh lagi
Terdengar hanya hentakan keras
Sepatu

Sudah kuizinkan kau
Berlalu
Yang tertinggal pada setiap jawapan
Adalah sendu di hujung kata
Tanpa irama yang sukar diduga
Hilang bila diperlukan
Kaku
Tak dihirau

Penat tanpa istirahat
Luka sanubari
Mana dapat ku rawat
Bersendiri

Menunggu adalah bebananku
Berlari gembira adalah tugasmu
Itulah mampu
Yang tertinggal pada setiap harapan palsu
Adalah rindu
Mahal tak tergadai waktu


Sia-sia ku seru
 Bersama kalbu
Penat menunggu
Hingga hujung sendu

**********
swakarya: Rash Rozhams

Sipi Sepi




Mari menari

Dalam mimpi

Dengan tangan bergari

Dan kaki tertusuk pedang jenawi

Sipi sepi



Rindu umpama batu mestika

Pancar lelangit pelamin duka

Dan pengantin bersanding terluka

Tanpa pasang tanpa baka



Gerunyut kocak air pawitera

Dalam balang payah ku tera

Tak terhakis kedap ceritera

Melihatmu tergaris cermin cedera

Takkan mampu hati ku kendera



Ku kerah diri

Kau dimana ku cari

Aku ingin bersamamu kini

Melindungimu dengan rapi

Dengan senjata hati

Dengan jujur tak terbeli

Sipi sepi


 
**********
 swakarya: Rash Rozhams

SERIBU hari jadi lagi


Setahun lagi
Aku tempuhi
Dengan niat bersakti
Dan nanti ku dilepas bersendiri
Untuk setiap yang kau mungkiri
Tak perlu gantung SERIBU tali

Nota berwarna merah hati
Terlakar catatan suci
Yang lahir dari bibir murni
Dari wajah kedut sunyi
Adalah SERIBU sumpah tak bersaksi

Bila begini
Terbiar menanti
Salahkah aku lagi
Walau telah ku luang SERIBU masa ini
Satu janji masih tak kita penuhi
Membuang sepi

Yang terbilang di jari kaku
Sewaktu hari lahirku
Adalah cuma SERIBU rasa jemu
Menunggumu

********
swakarya: Rash Rozhams

Pergi tembusi sendiri


Berikan aku sebuah negeri
untukku berlari
Pedih lubuk hati
Menanggung cukuplah ini
Tubuhku sendiri
menari

takkan aku minta selainnya
tidak juga kau atau dia
kerana aku pasti
rintih takkan kau dengari
mengetuk pintu langit suci
lebih mudah dari menangisi
mencari kau agar kembali

bulan di tempat itu
tak sebiru
di depanku
pergilah bersama deru
aku tak lagi mahu
menantimu


********** 
swakarya: Rash Rozhams

Rahsia, jika itu yang kau mahu



jika ini yang kita mahu,
tanggung lara
terima segala
maka itulah yang aku hulur seadanya
dengan rela
tiada lagi pendam kesat senak dada
dendam yang tak terbatas seusai usia
jatah warna rona pesona

Jika itu
apakah terluah lagi
ucapan yang terbuku?
adakah makna seri
senyum di bibirku?
apakah pula erti
linang airmata di pipimu?

ahhh, kalau lah kau tahu
betapa kejap aku 
menggenggam rahsia itu
Pilu....

********** 
swakarya: Rash Rozhams

Cukuplah Hanya Seorang



Cukuplah hanya seorang antara kita

yang perlu kota kata

dalam dolak dalik mana

tukar ganti pandang mata

masih tak mengerti makna



Cukuplah seronok seorang sekali

Bermain teka teki

Terganggu jawapan bila diuji

Dengan lamunan nasib diri

Sembunyi kunci mati mati

Berterbangan lebih mudah

Dari merangkak di tanah

Lara lebih indah

Bila mimpi kerap tak tersingkap terluah



Cukuplah hanya seorang yang menunggu

Siapa tak pernah merindu

Sekali sekala dalam waktu

Jangan cuba membohongi dirimu



Cukuplah hanya seorang

Yang menulis puisi girang

Dan berpura pura masih ada ruang

Yang sebenarnya kontang



**********
swakarya: Rash Rozhams

dari mata hati



Dari pintu hati
Aku mengejar ekor mata bersaksi
Sakit terpijak duri
Luka memakan dalam sanubari

Senandungkan nyanyian gila
Pada pelangi yang tiada warna
Membilang rindu pada setiap kata
Hilang punca
Kecewa sekian lama

Perit setahun lalu
Meniti tahun baru
Tanpa erti
Tanpa sebarang makna diri

Hanya kelabu
Pada mata hitamku
Di angkasa mimpi
Berdiri membilang sunyi
Harga nyawa ini

Sesungguhnya
Bernilaikah aku di mata tuhanku?
Berdosakah aku pada tuhanmu?

**********
swakarya: Rash Rozhams

Bila Kau Tiada



Apa yang aku ada
Bila kau tiada
Untuk manusia seperti aku
Dan setiap urat rasa menipu
Yang lama aku senyumkan
Kosong dunia ini kau tinggalkan

Apa yang aku ada
Bila kau tiada
Selain tangisan ikhlas
Dan senyumku yang takkan mampu lagi kau balas

Apa yang aku ada
Bila kau tiada
Selain kecewa setiap masa
Pada malaikat pencabut nyawa
Pada masa yang terlalu kejam berdosa
Kerana pada akhir pertemuan kita
Masih terasa kau mampu membuatkan ku bahagia

Tuhan,
Semangatku kau kuatkan
Kerana hanya itu yang aku perlukan
Dan itu yang aku ada bila kau tiada
Itu sahaja…

**********
swakarya: Rash Rozhams

Masa Setia Sia-Sia



Seminggu ku berpesan padamu
Sehari pun kau tak mahu ambil tahu

Kesal menunggu
Sebaris sendu
Yang dijamah hanya sekelumit
Yang kenyang hanyalah perit

Terkial-kial melangkah
Sukma kujumpa pasrah
Sangka baru bahagia
Tepis kenangan lama
Tak siapa ingin setia
Jika untuk sia-sia

Aku tahan seribu makian
Yang di lemparkan
Hanya satu keangkuhan
Yang kau tinggalkan

Melihat ini tidakkah kau kasihan
Pada manusia yang hilang ketabahan

Cuma satu perlu kau tahu
Pedih rasa kalbu
Bukanlah jawapan yang ku tunggu

Berkurun kukumpul sumpah di dada
Sedetik kau ambil untuk memungkirinya…


**********
swakarya: Rash Rozhams

Ubahlah


Ubahlah senyuman
Pahitnya pengalaman
Takkan tercapai seribu haluan
Takkan bermakna satu penyesalan
Semakin tawar kesetiaan
Semakin hancur perasaan

Ubahlah apa kata manusia
Peduli apa yang dirasa
Mereka bukan di syurga
Kita bukan di neraka
Ini dunia nyata
Menyesal adalah petanda
Sengsaranya sakit jiwa

Ubahlah prinsip hidup itu
Yang kau heret sepanjang hayatmu
Adalah selonggok batu
Yang namanya sendiri pun kau tak tahu

Ubahlah setia melulu
Buang angan harapan palsu
Penat menunggu
Sandiwara satu persatu
Habiskan nada dan lagu
Cinta lama yang masih membelenggu
Dengkuran malammu

Ubahlah harga diri
Jangan bertanya lagi
Sekalipun kau merindui
Setiap hari

Ubahlah hati ini
Dia telah lama mati


******************
swakarya: Rash Rozhams

Hari-hari tenangku...




Dalam hari-hari ini
yang kulalui
ada tenangku
tanpa ganggumu.

Lega dalam hari-hari ini
aku tepis rasa menggunung rindu
yang palsu
letih aku pada asakmu
atau gugat katamu
yang bagai membunuh seru.

Bagai ada satu rasa yang terlepas
dari jiwa yang selalunya keras
hari-hari yang rimas
bila aku ungkapkan kata
dan seribu rasa
dalam baris yang kau terus pertikai makna.

Jangan kau hantar lagi
mesej dalam sibuknya hari
dan biarkan aku
tenang dalam hariku
kerana aku yakin ini
aku tak perlu kau lagi.

****************
swakarya: Rash Rozhams

Mana, mana, mana...



Letih takkan berulang
Jika jawapan kau rakamkan
Terus dalam ingatan

Mana takkan ku tanya
Bila kau senyum selamba
Sedangkan hati meronta
Mendamba jawapan
Meski tak ikhlas
Asalkan berbalas

Aku tanya mana
Kau bikin diam tanpa bahasa
Apa guna lidah
Jika tak diarah
Pening akan mudah
Bila alasan kau muntah

Bertaburan mana
Ku kutip setia
Meski terpaksa berbongkok
Atau terjatuh songkok
Dari kepala yang makin serabut

Ahhhh mana-mana
Ku pandang gila
Pernah kau peduli
Mana hati
Yang kian bertanya
Mana semua
Mana hilangnya
Mana...



swakarya: Rash Rozhams

Sekiranya Akar Berbicara


Sekiranya akar berbicara
Banyak khabar duka kau akan dengar
Tentang hidup kayu menegak
Dan dedaun rimbun yang semakin segar
Tanpa perlu kau menyiramnya
Dengan sabar

Berteduhlah seribu saudagar sementara
Atau si papa kedana
Naungan itu tetap sama
Tanpa ada prejudis dan buruk sangka
Tanpa ada iri hati atau naik alis mata
Akar itu juga
Tetap menjalar jauh ke dalam bumi
Mencari-cari erti berdikari
Menerobos lubang tanah keras berdaki

Marilah kemari
Aku ceritakan tentang semua yang kau ingini
Ratusan tahun menyaksikan segalanya
Dari lubuk hijau yang buta warna
Akar bersirat yang tak terkira banyaknya
Lumpur hitam yang tak terselam jauhnya
Berdirilah kayu
Selama mana kau mampu
Bicaralah selalu
Pada rimba yang kau huni di hutan berdinding batu


Jangan kau cabut aku
aku masih mahu berbicara denganmu
Tentang nenek kedut seribu
tentang cucu yang derhaka selalu

**********
swakarya: Rash Rozhams

Itu Bukan Namanya



Itu bukan namanya
Bila kau bersama aku
Tapi mindamu bukan di situ

Itu bukan namanya
Bila kau pergi bersama teman
Sedangkan aku dikamarmu sendirian

Itu bukan namanya
Bila kita bertatapan mata
Lalu kau berpaling muka

Itu bukan namanya
Bila aku kau hubungi
Secara sembunyi-sembunyi

Itu bukan namanya
Bila aku cuba berbicara denganmu
Kau hanya diam membisu

Itu bukan namanya
Bila kau kata rindu
Tapi enggan untuk bertemu

Itu bukan namanya
Bila kau letakkan aku
Di senarai paling bawah carta hidupmu

Itu bukan namanya
Bila kau kata sentiasa
Tapi kau tak mengerti maknanya

Itu bukan namanya
Bila kau terlupa
Aku ini siapa





**********
swakarya: Rash Rozhams