Suatu Hari Nanti

 
Suatu hari nanti
Ada sinar datang tanpa kau sedari
Kau yakin itulah yang kau cari
Sedangkan ia hadir hanya seketika ini
Dan kau mudah pula terleka lagi

Suatu hari
Akan kita bertemu diri
Akan ku minta buat terakhir kali
Akan kau pulangkan hatiku yang kau curi!

Suatu hari nanti
Bila kau faham semua erti
Segala yang pernah kau lakukan pada batin ini
Aku yakin kau takkan mampu untuk berdiri
Payah bersatu janji

Suatu hari
Akan ku kumpul semua lafaz bukti
Ku huraikan satu persatu untuk kau uji
Yang mana jujur yang mana iri
Bila harus kau kaku bila pula kau perlu menari
Bagaimana hidup aku harungi
Ketika separuh nafasku kau bawa lari!

Suatu hari nanti
Di depan pusara sepi
Kau akan tahu dengan pasti
Mengapa aku memilih untuk mati
Dan kerana siapa aku jadi begini...

********** 
swakarya: Azuan Zameer

Bodohnya Aku Hari Ini

 

Aku tak pernah mencari
Sekeping daging yang kau gelar hati
Hidup bukan untuk dicaci
Bukan juga meminta peduli

Yang ku pinta
Hanya secubit rasa sakit di dada
Bila yang kanan kau puja
Sedang kiri kau persia
Untuk apa berdua
Jika nasib tak pula serupa

Tiada ku mahu
Semua rasa bahagia itu
Jika hujungnya kau tabur peluru
Yang meletus dari bibir palsumu
Aku bukan taksub padamu
Percaya pada takdir melulu
Konon kau tulis dengan darahmu

Untuk apa kau perlu lagi
Semua janji telah kau mungkiri
Lautan luas kau sanggup renangi
Hanya janji
Bodohnya aku hari ini
Kau ungkit sampai kemati!

********** 
swakarya: Azuan Zameer

Beginikah akhirnya rahsia kita?


Setiap kali rahsia itu tiba
Dalam hujung angin menerpa
Tertinggal ungkapan manja
Kaburnya bisikan nyata
Bukan niat permainkan kata
Kau kubekalkan angan menggila
Indah adalah pilihan mereka
Wajah adalah nafsu dunia

Simpati takkan terbau wangi
Sumpah jahat tak  perlu bersaksi
Tak semua jalan kau pilih itu lurus
Bukan setiap niat hatiku tulus
Kita carik  pahala menjadi halus
Lalu dosa ternampak mulus

Dalam setiap hitungan doa
Terselit bilangan rungkai tanya
Beginikah akhirnya rahsia kita?

********** 
swakarya: Azuan Zameer

Hanya Di Mata Menatap




Wajah jalang
Semua mata  memandang
Dari sudut yang terlarang
Bersama sedikit aksi telanjang
Dan pedihnya iman terhalang

Aku tak pernah peduli semua
Aku tak mau mati muda
Perlu apa bersembunyi muka
Hidupkan aku selamanya
Meskipun harus berdusta

Lihatlah kita
Yang kabur dengan kurnia
Yang jelas hanya cemburu buta
Bila kau duduk diam di sana
Dan aku berdiri dengan sejuta puja

Rakamkan saja semua gaya
Dan pancaran kamera yang menggila
Yang kau lihat adalah tubuh sempurna
Sedang kalbu kosong tanpa jiwa

Bukanlah seribu gambar
Yang kau kejar
Adalah nafsu yang menyambar
Yang kau puji tanpa sedar
Adalah sempurna yang paling hambar
Sedangkan hatiku terluka benar


********** 
swakarya: Azuan Zameer

Ku Simpan Rasa Itu Kini



Izinku menghampiri

Walau kau ada teman beribu di sisi

Walau kau tak mahu aku di sini



Aku tak mahu lebih

Aku cuma mahu kau tahu betapa perih

Untukku melangkah bersama sepi tersisih



Akur kekurangan sendiri

Tersedar pagi hari

Kau telah pergi

Sekali lagi



Aku cuma lelaki

Yang terpaksa senyum tutup pedih peri

Sedang hati ku paksa berdiri

Jiwa sebenar longlai tak bersendi

Kau lihatlah aku dari mata naluri

Bukan dari hati yang pernah aku lukai



Sesuatu yang didatangkan

Hanyalah pinjaman

Aku tak mahu kau pulangkan

Segala yang pernah ku berikan

Hadiah keindahan

Tak perlu kau persoalkan

Harapan



Tolong jangan pernah lagi

Berasa terhutang budi

Yang kau dapat kini

Cumalah secebis dari janji

Yang terpaksa aku mungkiri

Sekian kali


**********
swakarya: Azuan Zameer

Biarlah!


Dalam kocakan hati
Menggunung semangat yang mati
Biarlah janji


Adalah terselit suatu rasa keinginan
Untuk melontar jauh senaknya fikiran
Biarlah beban


Menggapai jauh kumahu mentari
Dan semaraknya benak yang kian menggila kini
Biarlah begini


Berbekal satu nafsu
Letih menggontai haru
Biarlah aku


Dalam kecelaruan punah sakitnya sendi
Ada ruang bernafas lega berdiri
Ku serak semua duri
Biarlah sekali


Izinkan ku menjerit derita
Agar dunia tahu ku juga manusia biasa
Biarlah kecewa



**********
swakarya: Azuan Zameer

Yang Pasti



Apa yang kita jumpai

Di celah-celah jari

Adalah cuma kotoran berdaki yang orang benci

Yang orang beri

Di tengah-tengah hiruk gegar hari

Adalah sepi mereka sedari

Yang mereka telah cuba lalui

Di hujung pelangi ketemu diari kosong tanpa isi

Yang kita cari

Adalah hati yang tak mungkin kembali

Sepanjang hayat yang kita temui

Bila terjaga sendiri

Sekali lagi

Adalah mimpi!



**********
swakarya: Azuan Zameer

Ku Sudah Penat Menunggu



Ku pungut sayu
Yang tertinggal pada setiap baris nafas
Dalam langkah kau pergi
Tanpa menoleh lagi
Terdengar hanya hentakan keras
Sepatu

Sudah kuizinkan kau
Berlalu
Yang tertinggal pada setiap jawapan
Adalah sendu di hujung kata
Tanpa irama yang sukar diduga
Hilang bila diperlukan
Kaku
Tak dihirau

Penat tanpa istirahat
Luka sanubari
Mana dapat ku rawat
Bersendiri

Menunggu adalah bebananku
Berlari gembira adalah tugasmu
Itulah mampu
Yang tertinggal pada setiap harapan palsu
Adalah rindu
Mahal tak tergadai waktu


Sia-sia ku seru
 Bersama kalbu
Penat menunggu
Hingga hujung sendu

**********
swakarya: Rash Rozhams

Sipi Sepi




Mari menari

Dalam mimpi

Dengan tangan bergari

Dan kaki tertusuk pedang jenawi

Sipi sepi



Rindu umpama batu mestika

Pancar lelangit pelamin duka

Dan pengantin bersanding terluka

Tanpa pasang tanpa baka



Gerunyut kocak air pawitera

Dalam balang payah ku tera

Tak terhakis kedap ceritera

Melihatmu tergaris cermin cedera

Takkan mampu hati ku kendera



Ku kerah diri

Kau dimana ku cari

Aku ingin bersamamu kini

Melindungimu dengan rapi

Dengan senjata hati

Dengan jujur tak terbeli

Sipi sepi


 
**********
 swakarya: Rash Rozhams

SERIBU hari jadi lagi


Setahun lagi
Aku tempuhi
Dengan niat bersakti
Dan nanti ku dilepas bersendiri
Untuk setiap yang kau mungkiri
Tak perlu gantung SERIBU tali

Nota berwarna merah hati
Terlakar catatan suci
Yang lahir dari bibir murni
Dari wajah kedut sunyi
Adalah SERIBU sumpah tak bersaksi

Bila begini
Terbiar menanti
Salahkah aku lagi
Walau telah ku luang SERIBU masa ini
Satu janji masih tak kita penuhi
Membuang sepi

Yang terbilang di jari kaku
Sewaktu hari lahirku
Adalah cuma SERIBU rasa jemu
Menunggumu

********
swakarya: Rash Rozhams

Pergi tembusi sendiri


Berikan aku sebuah negeri
untukku berlari
Pedih lubuk hati
Menanggung cukuplah ini
Tubuhku sendiri
menari

takkan aku minta selainnya
tidak juga kau atau dia
kerana aku pasti
rintih takkan kau dengari
mengetuk pintu langit suci
lebih mudah dari menangisi
mencari kau agar kembali

bulan di tempat itu
tak sebiru
di depanku
pergilah bersama deru
aku tak lagi mahu
menantimu


********** 
swakarya: Rash Rozhams

Rahsia, jika itu yang kau mahu



jika ini yang kita mahu,
tanggung lara
terima segala
maka itulah yang aku hulur seadanya
dengan rela
tiada lagi pendam kesat senak dada
dendam yang tak terbatas seusai usia
jatah warna rona pesona

Jika itu
apakah terluah lagi
ucapan yang terbuku?
adakah makna seri
senyum di bibirku?
apakah pula erti
linang airmata di pipimu?

ahhh, kalau lah kau tahu
betapa kejap aku 
menggenggam rahsia itu
Pilu....

********** 
swakarya: Rash Rozhams

Cukuplah Hanya Seorang



Cukuplah hanya seorang antara kita

yang perlu kota kata

dalam dolak dalik mana

tukar ganti pandang mata

masih tak mengerti makna



Cukuplah seronok seorang sekali

Bermain teka teki

Terganggu jawapan bila diuji

Dengan lamunan nasib diri

Sembunyi kunci mati mati

Berterbangan lebih mudah

Dari merangkak di tanah

Lara lebih indah

Bila mimpi kerap tak tersingkap terluah



Cukuplah hanya seorang yang menunggu

Siapa tak pernah merindu

Sekali sekala dalam waktu

Jangan cuba membohongi dirimu



Cukuplah hanya seorang

Yang menulis puisi girang

Dan berpura pura masih ada ruang

Yang sebenarnya kontang



**********
swakarya: Rash Rozhams