setiap yang bakal mendatang


sukarnya hendak ku duga pendirian,
sukar juga untuk kuperlihatkan rontaan
kau masih sudi untuk membaca setiap kiriman
dengan senyuman penuh manja dan lirikan penuh kepuasan
sayang sekali, 'kegembiraan' itu tak dapat aku ramalkan
malah jauh sekali mentafsirkannya dengan akal fikiran
memang sudah kujangka aku bakal berhadapan dengan 'musibah'
kalau aku masih mahu berpencak sembah
dan akan kuteruskan hingga ke titisan darah rebah
tewas bukan pilihan yang paling dekat tika ini
gagal juga masih jauh di depan diri
apatah lagi untuk menyerah
sekadar untuk membuktikan
dayusnya seorang 'aku'
kau bermain dengan bukan 'mainan'
halanganmu juga tidak kebal
hingga kini walaupun aku masih terkurung dengan hukuman
masih gagah untuk berfikir dan seterusnya mencaturi permainan
masih ada ruang yang maha luas untuk ku terus keluar
dari kepompong yang sempit
teruskan perjuangan ku yang satu
Aku tahu kau juga bimbang, resah, desah dan ragu
bila 'kekuatanmu' semakin terserlah
bila hukumanmu itu langsung tidak menjejaskan aku
walaupun kau harus terus berfikir
dan terus berfikir untuk langsung membunuhku
Aku rela 'dibunuh' dengan cara yang paling terhormat,
sepertimana aku 'menjemputmu'
namun persoalan 'hidup mati' permainan ini belum tamat,
dan noktah yang kau 'kalungkan' di gelanggang ini sudah hilang di mamah
kalau hukuman itu satu alasan buatmu untuk menghina lemah
kerana aku sedar siapa yang harus pasrah
tapi kalau hukuman ini atas satu dosa
yang benar-benar telah aku palitkan di muka
maka aku terima seadanya dengan redha dan rela
cuma aku harap, jangan begitu kejam mendera
kerana ada rindu yang sedang menggamit mesra
setiap hari, setiap detik dan setiap yang bakal mendatang tiba
**********
swakarya: Rash Rozhams