kekejian


kekejian bukan satu yang perlu dicanangkan
berlandaskan akhlak hapak
berpandu undang-undang yang berkerak
protokol luak
tanpa had tindakan yang tak pun bergerak
kualiti keji
spesifik benci
bertemu ramah dikaunter amanah
menelefon sentiasa berkerah
sial di sebelah berkelah
keadilan dalam pengejian
nilai utama hancurnya label ummah
konflik akauntabiliti lemah
masa yang dipacu mobiliti di kaki khemah
semah
bersyukurlah pada kata keji
rasional dari bara api
sejagat konon jati diri
entahlah aku sedari
tapi kau fikirlah sendiri
keji
**********
swakarya: Rash Rozhams

hari ini hujan turun lagi


hari ini hujan turun lagi
mengisi lopak-lopak debu
menjadi kolam berudu
mengisi jentik-jentik seribu
yang kemudian keruh likat kelabu

tadi
di dasar lopak yang kulihat
berkeladak tanah liat
berpusaran riak cecahan lalat
menjadi minuman kelat
pada anjing yang datang berehat

malam nanti
lopak masih berisi
berkilau permukaan disinari
tanda sedar terpercik ke sisi
mengauk setiap hentakan kaki
oleh pemangsa malam yang mencari rezeki

esoknya
lopak terserap segala
dan berudu semalam masih belum sempat dewasa
jentik-jentik belum bersayap kaca
lalat-lalat hilang kemana
dan lopak berdebu semula...

**********
swakarya: Rash Rozhams

jangan jerit padaku


jangan jerit padaku
aku bukan hamba sahayamu
masih kenal mana satu buku
yang mana habuk kutu
jangan usik periuk nasiku
kutip semula pasir itu
kau sekat rezeki pada saku
kau buka ruang liku
jangan beri khutbah dungu
aku muak bila kau begitu
sudah cukup tangisan insafku
sudah usaikah senyum sinismu?
jangan kau soal hijrahku
gerak hati siapa tahu?
mungkin sudah sampai seru
jadi tak perlu jeritan itu
biar sahaja periuk nasiku
hentikan khutbah haru
kerna aku sudah tidak bernafsu!
**********
swakarya: Rash Rozhams

kudratku setakat itu


aku takkan memaksa diriku
membuat apa yang ku tak mampu
sedangkan kau tahu
kudratku setakat itu
**********
swakarya: Rash Rozhams

menunggu kewajaran tiba


menunggu kewajaran tiba
bagai menanti pelangi terbenam ke hujung jendela
sedangkan langit makin senja
tak lut sebarang cahaya
menunggu kewajaran tiba
seperti menadah kepala di hujung senjata
membiar maruah larat melata
mencarik, mengerat ampuhnya nyawa
tak bilas bersih air di telaga
menunggu kewajaran tiba
seolah mengharap turun bidadara
menatang dulang-dulang tembaga
berisi mercup kilauan singahsana
takkan terusik dek tangan durjana
menunggu kewajaran tiba
umpama menafikan nafas terhela
ke maya pada
**********
swakarya: Rash Rozhams

perlukah aku kagum


Perlukah aku kagum
kerana kau tidak mahu mengakui
sekurang-kurangnya tiada riak yang berpanjangan
dalam egomu

perlukah aku kagum
dan maafkan kau kalau kau
tergamak menyamakan lakaran itu
sebagai dirimu
namun aku harap kau memahami
tentang kepayahan yang aku alami
perlukah aku kagum
walau beribu jauhnya kau kini
berapa luas pun lautan kau langkahi
dan walau beribu umat pun yang telah kau temui
aku tahu hatimu hanya untuk yang satu
dan makin hari aku
cuba sedaya yang terdaya
untuk meletakkan kekaguman
di tempat yang satu itu
perlukah aku kagum
jika kau mengiktiraf kuderat ini
selagi itu
aku akan setia menyusuri
racun yang mengalir dalam tubuh kita
sebelum tuhan habis menguji rasa
perlukah aku terus kagum
pada alaf yang penuh debar
dan terus kagum
meski ku harus menanti pulangmu dalam nanar
**********
swakarya: Rash Rozhams

masih petah bicara


aku bersyukur
lantas masih bernafas pagi ini
dan jemari ini
masih petah untuk berbicara denganmu
di belantara sepi yang luas ini
aku sering duduk terpaku
mengenangkan lirik-lirik
bahasamu yang indah itu
menggambarkan dirimu
sedang asyik mengetuk papan hati
sambil jemarimu menari-nari
mengalunkan bait-bait yang mengocak ketenangan
Aku sering menghayati
walaupun aku nanar dan tersasar sendiri
Kau katakan aku seorang peraih bahasa
tapi dalam masa yang sama
kau demikian juga
Kau katakan aku sering melakar rindu yang tak berwarna
tapi kau juga seorang pelukis yang agung
kau juga yang mewarnakan pelangi yang aku lakar
Kita sama
sama saja
malah banyak lagi persamaan
yang bakal kita selongkar bersama
walaupun hanya lautan yang menjarakkan kita
Tapi aku rasa lautan itu ada rasa simpati
kerana gelora yang kau nampak ini
adalah gelora rinduku yang sukar untuk kau sendiri tafsiri
Malah aku sendiri tak mampu lagi untuk menagih fantasi
yang terus hilang noktahnya ini
Hinggakan aku cuba untuk membawamu dalam realiti
dengan lukisan yang tarah mati
Aku cuba menggambarkan suatu daerah yang realistik
dan ternyata menggiurkan syariat seorang lelaki
cuba pula aku bayangkan dalam lakaran itu
ada kemewahannya yang maha hebat
sentiasa
**********
swakarya: Rash Rozhams

entah sampai bila


Kau benar membuai dunia
hinggakan aku tak bisa lagi untuk menanggungnya
Aku takut juga untuk bertentang mata
lantaran bimbang juga
kalau iman aku tak kental sepanjang masa
bisa roboh juga matlamat yang aku bina
Tapi mahukah aku yang kerdil kau menyapa
mahukah kau berdepan dengan lelaki serupa
dan dendam yang kau beri nama
mahukah kau menyentuh tangan luka
seorang lelaki yang kau katakan menipumu sentiasa
mahukah kau mengukir senyum dusta
yang pernah aku lakukan tanpa perlu berpura-pura
dalam baris kata-kata yang indah sentiasa
Aku jadi seorang yang phobia pada ketaksuban
aku lemas bila ada soalan-soalan
yang jelas menggugat rentak tarian
Mujur juga dendam itu menyelamatkan kealpaan
lantas irama itu begitu setia mengusapku perlahan
semasa kau meludahi setiap kali aku mengaduh kesakitan

Ku mainkan beribu kali
dan entah berapa ribu kali juga aku mengintaimu dengan iri
ketika kau sedang asyik gemalai menari-nari
mengikut alunan hati
Mahu saja aku menunggumu setia
bila kau jejakkan kaki di bumi kita
tapi sayangnya aku tak tahu bila
tapi yang pasti kau masih belum bersedia

Aku juga tak mahu memalukan diri
lantas mengikut kata hati
aku mahu ianya datang dari bibirmu sendiri

aku mahu kau yang mengukir kata-kata keramat itu
Aku menunggu
entah sampai bila aku pun tak tahu
**********
swakarya: Rash Rozhams

ada lagi kekuatan


Maaf
Kalau tajuk itu membuka pintu
lahar amarahmu,
sebenarnya akulah lelaki itu

bukan manusia lain lagi
Aku sekadar membilang hari
dan jari-jariku yang nyata tidak banyak ini
menghitung detik yang ada tanpamu di sisi
Mana lagi harus aku gagahi
Langkah kalau tidak di ruang yang kecil ini
ruang yang penuh hikmah dan indah pelangi
siapa lagi
yang akan memberi aku kenikmatan erti
kalau bukan untuk kau siapa lagi
Kau benar mengajar aku erti
trauma sejati
yang tidak bisa lagi aku lupai
Aku tak pasti dahan mana yang sedang kau hinggap kini

aku sering bertemu
kelibatmu dalam ruang fikirku
dan tak henti-henti tersenyum padaku
aku rasa hilang sudah realiti di depanku
kerana aku sering terbang 'bersamamu'
dalam ruang itu
Aku gagal mengawal landasan ku sendiri
kadang-kadang lantas terlalu mahu merindui
kau nyata misteri
Malah makanan yang aku jamahpun tidak lagi mengenyangkan
bumi yang kupijak tidak lagi terasa bahang kepanasan

Mujur ada lagi sisa-sisa ilmu yang ku tuntut dulu
sekurang-kurangnya ada lagi kekuatan untuk aku
**********
swakarya: Rash Rozhams