emosi selaut


Aku sendiri bingung dan dungu
seperti kau juga
bila memikirkan tentang kebetulan yang melanda kita
aku lagi berat bila memikirkan tentang kepayahan
tentang beribu lain persoalan

emosi yang bakal menuntut kekuatan daya
dan kerukunan darjat yang terpaksa aku lupa
meski buat sementara.
Walaupun aku tahu aku tidak selayaknya
untuk terbang bersama-sama enggang di atas sana.

Namun ku gagahi juga sayap ini semata-mata kerana mu
Aku sedar kau tinggi tapi kesedaran itu tidak mengatasi segalanya
aku sanggup untuk berdepan dengan ‘kebodohanku’
bila aku gagal dan jatuh kelak ….
selaut manapun kebencianmu pada keikhlasan,
walau obor cinta itu sudah kau padamkan

namun aku lelaki yang masih mahu begitu
aku masih mahu cuba mencari cinta mu yang hilang itu
Aku sendiri nanar dengan pendirianmu yang tidak menentu
tapi sekurang-kurangnya kalau terbetik rindu di hati
tahu di situ juga berbunga cinta pasti
cuma masa dan ketika sahaja untuk aku memetiknya
jangan angkuh menuduh aku sudah tewas
aku bukan tewas
tapi kemenangan yang sudah kubina
dari putik-putik rindu
aku pasti belum mahu menyerah kalah
dan jangan menghukum sesuatu
yang kau sendiri akui akan 'kekuatannya'

**********
swakarya: Rash Rozhams